ALOR SETAR: Kedah perlu mengelak melakukan kesilapan jika mahu terus memburu peluang mendapatkan tiga mata ketika perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, esok.
Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi Ab Aziz berkata, sebarang kesilapan bakal 'memakan diri’ kerana aksi di Darul Aman itu adalah satu-satunya peluang terbaik untuk Kedah melayakkan diri dengan kemenangan keatas juara liga super itu.
“Kita perlu terus beri komintmen yang tinggi seperti pernah kita buktikan sebelum ini dan elak melakukan kesilapan untuk layak ke petingkat seterusnya.
“Kedudukan dalam kumpulan C kini kembali terbuka dan jurang mata tidak jauh, namum impian untuk melangkah ke peringkat suku akhir tidak semudah yang disangka.
“Kita mengharapkan pemain beraksi sehabis baik untuk misi kali ini di Darul Aman dan tingkatkan keyakinan untuk berdepan dengan pasukan nombor satu Liga Malaysia ini,” katanya.
Azzmi juga turut lega dengan kepulangan empat tonggak utama Kedah iaitu Ifwat Akmal Chek Kassim, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Akhyar Rashid yang baru tamat tugasan mewakili skuad bawah 23 (B-23) negara pada temasya Sukan Asia di Indonesia baru baru ini.
"Penampilan semula mereka ke dalam pasukan akan memperkukuhkan lagi posisi yang ada dan membangkitkan semangat untuk pemain pemain lain yang akan beraksi bersama. Sebagai jurulatih saya berharap mereka bersedia dengan prestasi terbaik."
"Kita rugi apabila gagal membawa pulang tiga mata sewaktu perlawanan menentang MIFA minggu lalu dan kali ini misi perjuangan kita adalah perlu menang malam esok,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan