Kedah benam JDT di Alor Setar



SANDRO Da Silva Mendonca (kiri) meraikan gol pertama Kedah ketika menentang JDT pada saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM

ALOR SETAR: Kedah berjaya mencipta kemenangan apabila membenam Juara Liga Super lima kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT)  3-1 pada aksi Kumpukan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.
Pada perlawanan ini, Kedah bermula garang dengan membuka jaringan awal pada minit ke-6 melalui percubaan pemain import Sandro Da Silva yang mendapat hantaran Khairul Helmi dan seterusnya  berjaya menewaskan Farizal Marlias. 
Gerakan jentera serangan yang dipimpin Sandro Da Silva dan hampir menjelmakan gol kedua Kedah pada minit ke-7  namun percubaan berjaya ditepis penjaga gol.
Keadaan menjadi semakin rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol dan JDT hampir bangkit mencipta gol pertama melalui penyerang Safawi Rashid  pada minit ke-18  dengan gerakan pantas disebelah kiri gawang Kedah namun gerakan itu disahkan 'ofsaid' oleh pengadil.
Gawang Kedah sekali lagi diancam apabila Fernando Marques melakukan percubaan depan pintu gol pada minit ke-34 namun sempat ditampan keluar oleh Abdul Hadi Hamid dan selang dua minit selepas itu, Marques akhirnya  berjaya menggembirakan penyokong JDT dengan gol pertama hasil hantaran pemain sayap Safawi Rashid menjadikan kedudukan 1-1 sehingga tamat babak pertama.
Dua minit selepas bermula babak kedua Kedah kembali ceria di depan dengan gol kedua oleh pemain muda Akhyar Rashid yang mudah melorong bola ke gawang JDT hasil hantaran Liridon Krasniqi yang  kemudian ditampan pertahanan JDT Corbin Ong di depan pintu gol.
JDT meningkatkan serangan ke pintu gol Kedah melalui percubaan Fernando Marques pada minit ke-72 dan Hazwan Bakari pada minit ke -77 namun gagal menambah gol.
Malang terus menimpa JDT apabila Marcos Antonio dilayangkan kad merah pada m-89 berikutan terjahan keras keatas Abdul Hadi.
Dalam masa tambahan minit ke-94 Liridon berjaya menambah koleksi gol Kedah dengan larian dari kawasan pertahanan dan melakukan percubaan bola lambung terus ke gawang JDT.
Kedudukan 3-1 ini kekal hingga tamat masa perlawanan menyaksikan Kedah menambah tiga mata pada kedudukan carta Kumpulan C.

Ulasan