ALOR SETAR: Strategi berbeza diatur Kedah dalam misi memburu tiga mata apabila bertemu MIFA pada saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Penolong ketua jurulatih, Azzmi Aziz berkata, strategi berbeza itu perlu dalam misi penting bagi meneruskan misi kemenangan seperti dicapai dalam perlawanan bertemu MIFA minggu lalu.
“Kami perlu ada perancangan lain yang lebih baik berbanding perlawanan lalu untuk menghadapi situasi di tempat lawan yang dijangka lebih sengit kali ini dan kami sedar akan keperluan meningkatkan beberapa aspek penting yang perlu ditambah baik.
“Jika ikut situasi semasa, saya fikir kami akan melakukan sedikit perubahan dan untuk bertemu MIFA kami hanya fokus untuk menang dan bukan seri, jadi kami semestinya perlu mengatur strategi kemenangan.
“Apa yang penting persiapan secukupnya dalam latihan dan pemain bebas daripada kecederaan. Saya nampak pemain lebih positif dan bersemangat dalam suasana bersatu dalam pasukan.”
Azzmi berkata, walaupun Kedah mendapat suntikan motivasi melalui kemenangan 3-2 ke atas MIFA minggu lalu, sikap berwaspada perlu ada supaya tidak memakan diri sendiri kali ini.
“Kami perlu berhati-hati kerana lawan sudah ada enam mata dan mereka takkan lepaskan peluang apabila beraksi di laman sendiri.”
Ulasan
Catat Ulasan