KUALA LUMPUR: Kritikal! Itu saja perkataan yang boleh digambarkan mengenai jumlah kehadiran peminat bola sepak tempatan ke stadium pada aksi pertama Piala Malaysia, hujung minggu lalu.
Berdasarkan statistik jumlah kehadiran penyokong, ia jelas mengecewakan apabila enam daripada lapan gelanggang bagi aksi pembukaan Piala Malaysia dihadiri kurang 3,000 penonton.
Bagi aksi Pahang dan Sabah di Stadium Darul Makmur mencatat 2,812 penonton, sementara di Stadium Perak, Ipoh yang membabitkan pertemuan Perak dan FELCRA FC dihadiri 2,777 penonton.
Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pula mencatat 1,258 penonton dan diikuti Stadium Shah Alam (1,160), Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (1,156) dan Stadium Hang Jebat (250).
Jumlah kehadiran tertinggi adalah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos bagi aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MIFA, serta aksi Kedah dan Kelantan di Stadium Darul Aman apabila masing-masing mencatat 4,650 dan 4,063 penonton.
Berdasarkan jumlah itu, timbul juga beberapa persoalan termasuk adakah Piala Malaysia, pertandingan tertua dalam kancah bola sepak tempatan sudah hilang seri?
Persoalan paling utama adakah peminat bola sepak tanah air hanya hadir ke stadium bila pasukan menang atau hanya untuk aksi penting seperti separuh akhir atau final?
Apa saja persoalan yang timbul, harus diingat kehadiran penonton ke stadium mempengaruhi pendapatan pasukan yang sememangnya memerlukan perbelanjaan besar.
Jadi, tanpa pendapatan yang kukuh, bagaimana pasukan boleh maju dan membina skuad mantap jika hanya mengharapkan dana daripada tajaan?
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan di laman Facebook mereka semalam menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab pasukan untuk mempromosikan perlawanan kepada penonton.
“Penyiaran jadual perlawanan adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan SOP MFL semasa praperlawanan. Jadual ini kini disiarkan melalui medium digital di media sosial, surat khabar, televisyen (iklan serta program TV) dan radio.
“Keuntungan tiket adalah komponen besar dalam pendapatan pasukan dan setiap pasukan bertanggungjawab dalam memastikan hari perlawanan menjadi acara yang mengujakan buat penyokong. Ia situasi sama buat mana-mana pasukan di dunia,” menurut MFL.
Ulasan
Catat Ulasan