JOHOR DARUL TA’ZIM BUKAN SEKADAR NAMA

JOHOR DARUL TA’ZIM BUKAN SEKADAR NAMA
“Lillahi Ta'ala, kerana saya fikirkan rakyat Johor dan negeri Johor, kerana itulah saya ada di sini”- 26 Ogos 2018, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Satu ungkapan yang amat terkesan, dihadapan semua hadirin Tunku telah lafazkan, semasa sesi bual santai bersama penyokong tempoh hari, yang membuat saya tersedar sendiri.
Ungkapan itu membuat saya terfikir. JDT (Johor Darul Ta’zim) ini terwujud bukan sekadar nama yang diukir. Bukan juga sekadar sebuah kelab yang bertanding hanya untuk pertandingan bola sepak. Tetapi lebih dari itu, dalam pluraliti yang jelas ternampak.
JDT. JDT ini terbina hasil dari campuran formula rasa kesedaran, kesetiaan, keikhlasan dan juga kebanggaan. Hasil dari campuran ramuan emosi ini, maka terhasil lah sebuah kelab bola sepak yang mencipta banyak peluang dalam sejarah perjalanan.
"Peluang pemain merasa dihargai"
JDT. Sejak Harimau Selatan berevolusi, pemain dapat merasa gaji yang setimpal dengan prestasi. Bila menyarung jersi JDT semasa beraksi, pemain begitu berasa dihargai lalu bercambahlah obligasi, pengurusan dan penyokong sentiasa ada dibelakang dalam apa jua keadaan dan situasi, hingga menjadi memori indah dihati kekal inskripsi, hipotesis yang bakal membuat mereka setia dan bangga termanifestasi.
Ini terbukti bahawa dengan pengakuan Safawi Rasid yang kini semakin menyinar, dengan jujur pemain ini menyatakan perkara yang benar.
“Secara jujurnya, saya tidak ada apa-apa rahsia untuk beraksi dengan baik. Saya akui banyak belajar di Johor untuk jadi terbaik, apa yang JDT ajar saya terapkan, bersama skuad negara telah saya terjemahkan”- Safawi Rashid.
"Peluang bola sepak tanah air dikenali serata dunia"
JDT. JDT telah dikenali kerana usaha-usaha yang dibuat oleh Tunku dan pengurusan. Dengan berbagai kejayaan yang dicetak dalam sejarah kebangkitan. Nama JDT akhirnya tidak lekang menjadi sebutan. Dengan adanya JDT, tanah air juga menerima tuah dalam biasan. Maka dikenali liga Malaysia yang selama ini dunia tidak perasan.
Kelab ini diletakkan setaraf kelab-kelab hebat di dalam Asia. Maka usaha Tunku dilihat bukan sia-sia. Satu pencapaian yang buat JDT dikenali kerana Tunku inventif, yang selama ini orang luar hanya melihat pasukan di liga kita terlalu retrogresif.
Ketika ini,
JDT satu-satunya kelab yang sering dikunjungi, oleh pemain-pemain terkenal dunia juga lagenda. Bilamana dahulu kita tidak pernah termimpi, pemain-pemain ini menyebut nama JDT walaupun keras lidah.
"Ia adalah sebuah pusat latihan yang sangat bagus dengan padang yang sangat baik serta kemudahan yang terbaik seperti gimnasium, kolam renang dan kesemuanya. Kemudahan sangat menakjubkan dan padangnya sangat baik. Bukan mudah untuk mencari kemudahan terbaik seperti ini" - 13 Jun 2017, Marcello Lippi.
"Peluang kita memperbaiki hubungan sesama bangsa"
JDT. Lahirnya kelab ini maka bangsa Jauhar jadi ternama, menyemarakkan lagi perpaduan kita seperti tercatit di sejarah lama, lebih satu ratus tahun dahulu ikatan termeterai bersama, sekian lama berkongsi di tanah yang sama.
Wujudnya JDT wasilah ini semakin mekar. Integrasi jadi iltizam di tanah bertuah bumi Jauhar. Kita menjadi satu dalam cahaya payung bangsa. Sedih dan kegembiraan dalam kelab ini kita berkongsi perasaan yang sama rasa. Tiada kasta dan beza warna kulit dalam predikat, pemikiran bangsa Jauhar bebas dari kubikel yang disekat.
"Peluang kita merasa indahnya kejayaan dan kejuaraan"
JDT. Dengan tertubuhnya kelab ini, bangsa Jauhar mula adikuasa. Mula ramai yang berasa iri hati memendam rasa. Namun itu bukan penghalang, kelab ini berjaya memberi peluang, kita merasa indahnya menggapai kejayaan, juga betapa manisnya menjulang kejuaraan. Yang selama ini tidak pernah kita rasa, kerana terlalu lama tunduk dalam kekalahan yang kita terbiasa.
Dahulu,
Tidak pernah kita termimpi kelab ini menghidangkan lima kejuaraan berturut-turut tanpa ada kokurensi. Tidak pernah termimpi kelab ini berjaya menjadi sebuah kelab yang membuat pasukan lagenda abdikasi.
Akhir kalam,
Kita amat beruntung dalam garis masa. Kita dianugerah seorang putera raja pejuang bangsa. Tiada isolasi, kasih ini sentiasa mengalir dalam irigasi.
Kita harus sedar,
Tunku menganggap kita sebagai keluarga yang penting dalam indikator perjalanan kelab ini. Tunku amat berharap kita semua bersatu lalu menjadi fondasi untuk kelab ini terus gah berdiri.
Tidak mengapa,
Sesekali perselisihan faham buat kita semakin rapat, sama-sama kita rendahkan ego, kita kembali ke barisan muafakat. Lupakan segala salah faham yang menular, jangan didengar siul si ular.
"Jangan biarkan seseorang memalapkan cahaya anda semata-mata kerana ianya silau pada pandangan mata mereka" - DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel : Media JST

Ulasan