PASUKAN MISC-MIFA mencipta sejarah tersendiri selepas menumbangkan juara bertahan, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, pasukan yang dibimbing oleh K. Devan itu berjaya mengejutkan JDT dengan jaringan pemain import, Kpah Sherman pada minit ke-19.
Skuad Harimau Selatan kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Fernando Andres Marquez pada babak kedua untuk mengikat pasukan pelawat daripada Liga Premier itu.
Ketika JDT berusaha untuk mencari gol kemenangan, MISC-MIFA meledak gol kemenangan hasil serangan balas cantik yang berjaya disudahkan oleh Bae Beom-geun, 10 minit sebelum tamat perlawanan.
“Ini adalah pencapaian yang mengejutkan dan membanggakan daripada anak-anak buah saya kerana bukan mudah untuk menang selain menjaringkan dua gol di Larkin adalah sesuatu yang sangat sukar,” kata Devan.
JDT yang baru ditabalkan sebagai juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut merupakan juara bertahan Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Kedah 2-0 pada final di Stadium Shah Alam tahun lalu.
Ulasan
Catat Ulasan