JDT sukar ditandingi: Nidzam



PEMAIN JDT meraikan jaringan pertama Fernando Marquez (tengah) ketika bertemu Kedah pada perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia 2018 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
JOHOR BAHRU: Ketiadaan tonggak utama kerana latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) dan kecederaan, dikenalpasti punca Kedah dibelasah 1-5 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.


Walaupun ia meresahkan pengendalinya, Mohd Nidzam Adha Yusoff, bekas pemain Kedah itu tetap yakin dan mempertahankan anak buahnya selain memuji JDT mempunyai barisan pemain lengkap dan berkualiti tinggi, sekali gus menyukarkan skuad tempang Helang Merah 'melawan' di gelanggang lawan.
Katanya, pada babak kedua pemainnya memberi ruang kepada pemain JDT bergerak bebas hingga menjaringkan gol namun tidak menjangka Kedah tewas dengan jaringan besar.
"Secara keseluruhan pada perlawanan itu, saya hanya menurunkan pasukan kedua kerana ramai tonggak utama tidak bersama kami terutama Baddrol (Bakhtiar), Rizal (Ghazali), Akhyar (Rashid) dan Ifwat Akmal (Chek Kassim) yang kini menjalani latihan bersama skuad bawah B-23 negara.
"Kami juga berdepan masalah pemain cedera seperti Khairul Helmi (Johari) dan Liridon (Krasniqi) yang tidak dapat beraksi menentang JDT, saya akui kami hadir selaku pasukan serba tidak lengkap.
"Walaupun saya menurunkan Andik (Vermanshah) bagi menguatkan jentera serangan tetapi kelibatnya hanya bertahan pada babak pertama sebelum mengalami kecederaan di pergelangan kaki kiri dan dia tidak mampu meneruskan perlawanan," katanya.
Ternyata Mohd Nidzam terpaksa menurunkan pemain  kurang berpengalaman menentang juara Liga Super lima musim berturut-turut yang tampil garang bagi menebus kekalahan kepada MIFA 1-2, baru-baru ini.
Bagi Mohd Nidzam, MIFA kini  berada di prestasi terbaik selepas menewaskan Kelantan 2-0 namun mereka perlu bangkit mencatat kemenangan apabila beraksi di Stadium Darul Aman, Jumaat ini, sambil menaruh harapan dapat menurunkan kesebelasan terbaik bagi memburu kemenangan pertama.
Beliau berkata, jika beberapa tonggak belum pulih daripada kecederaan kemungkinan dua atau tiga pemain Piala Presiden akan diturunkan bagi mengimbangi barisan pemain Kedah yang sememangnya memerlukan tenaga baru.
"Saya tidak dapat menggunakan beberapa pemain Piala Presiden ketika menentang JDT kerana mereka juga terbabit dalam aksi suku akhir di Alor Setar. Untuk aksi menentang MIFA nanti beberapa pemain akan dipanggil menjalani latihan," kata Mohd Nidzam.

Ulasan