AKSI terakhir antara Kelantan dan JDT dalam kempen Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu minggu lalu berkesudahan The Red Warriors menang 1-0.
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Selepas mengalami dua kekalahan mengejut dan menghuni tangga tercorot Kumpulan C, Johor Darul Ta’zim (JDT) menyeru penyokong mereka agar bersatu di belakang Harimau Selatan menjelang pertemuan genting Piala Malaysia menentang Kelantan di Larkin, esok.
Turun sebagai juara bertahan, JDT dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada pasukan kerdil, MISC-MIFA di laman sendiri dalam aksi sulung, 5 Ogos lalu.
Biarpun bangkit membelasah Kedah 5-1 dalam perlawanan kedua, namun anak-anak buah Benjamin Mora tewas 1-0 kepada Kelantan dalam aksi terakhir di Kota Bharu, minggu lalu.
“Kita harus terus mengharungi baki perlawanan dengan bersatu hati dan percaya kepada pasukan. Beberapa faktor utama yang boleh menjadi indikator untuk pasukan ini terus berdiri.
“Penentu kejayaan bukan sahaja berkenaan pengurusan, barisan jurulatih dan pemain, tetapi juga penyokong yang setia tidak kira rintangan yang mendatang.
“Walau dalam keadaan kita tertunduk dan ramai yang berharap kita tewas, kita harus menjadi talian hayat untuk pasukan meneruskan saki baki perjuangan,” menurut JOHOR Southern Tigers (JST) hari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim pula mendedahkan, kehadiran penyokong yang merosot menyebabkan dua syarikat menarik diri daripada menaja JDT musim depan.
Dalam perkembangan lain, Kelantan ‘tempang’ berdepan JDT selepas hilang lima tonggak iaitu Cristiano Marcolino Santos, Shafiq Shaharudin, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Haqim Draman dan Azwan Ariffin.
“Cristiano Santos dan Muhammad Danial Haqim dilayangkan kad merah ketika menentang JDT minggu lalu manakala tiga pemain lain cedera,” kata ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah.
Ulasan
Catat Ulasan