JANGAN SAMPAI HILANG HIKAYAT

JANGAN SAMPAI HILANG HIKAYAT
Pengorbanan.
Tertubuhnya Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim adalah bersangkut paut dengan korban, juga pengorbanan. Kerana Bangsa Jauhar, kelab ini diwujudkan. Tidak sekali Tunku anggap ia satu pembaziran.
Tanpa pengorbanan, kelab ini tidak kukuh seperti hari ini. Kerana pengorbanan, kita tidak akan berjaya seperti situasi terkini.
Tunku sanggup melakukan apa sahaja untuk rakyat sejak azali, sanggup mendengar rintihan dari rakyat biasa supaya kelab ini ditegakkan kembali.
Di cerita kali ini saya mengingatkan kembali pengorbanan yang telah Tunku lakukan demi menegakkan kembali fondasi yang dahulunya goyang, bagaimana berdiri kembali dedikasi untuk Bangsa Jauhar yang Tunku sayang.
‘Korban masa dan waktu”
Tunku telah mengorbankan segala masa dan waktu untuk memastikan empayar ini sentiasa utuh. Masa Tunku banyak dihabiskan untuk memikirkan bagaimana kelab ini gagah berdiri teguh. Tertubuhnya JDT, orang luar mula cemburu berakar subur. Bila mana kelab ini menjadi agen perpaduan dan jambatan muafakat yang dahulunya masih kabur.
Setiap masa dan waktu hanya JDT dan rakyat yang bermain di kubus fikiran . Tidak pernah sesaat JDT dan Bangsa Jauhar, Tunku lupa dan abaikan. Pada Tunku semua ini harus tidak lekang dalam perhatian. Walaupun berada beribu batu dari kejauhan, JDT tetap dalam senarai kasta keutamaan.
‘Korban perasaan dan emosi”
Sepanjang kelab ini ditubuhkan, Tunku dihentam kiri dan kanan. Seorang anakanda Sultan yang sering menerima tekanan, dicaci dan dikeji oleh masyarakat ‘babaric’ yang tiada pelajaran. Tunku terpaksa menelan segala rasa sedih, rasa marah, rasa kecewa secara berseorangan. Namun itu Tunku tidak anggap sebagai tekanan. Asalkan Bangsa Jauhar merasa betapa manisnya kejayaan.
Kadangkala tidak adil apabila ada masalah yang menimpa pasukan, timbul segelintir golongan menjadi petualang seperti mahu menjatuhkan.
Agitasi mereka bagai mahu melemahkan, tewas atau tunduk mereka tidak boleh menerima kenyataan.
Waktu Tunku sedih ada yang bertanya? Waktu Tunku kecewa ada yang menyapa? Apakah kita mahu empayar yang telah terbina ini tumbang dan rebah? Sudah puaskah segala kejayaan yang kita jamah?
“Korbankan Martabat seorang anak Raja”
Kita sendiri lihat. Kita sendiri menjadi saksi betapa Tunku penat. Kehidupan seharian banyak dihabiskan bersama rakyat. Baginda merasakan hanya rakyat yang boleh menjadi sebaik-baiknya sahabat.
Cuba kita banding dengan orang politikus, golongan ini hanya tahu menjarah rakus!
“Korbankan jiwa dan raga”
Jiwa dan raga Tunku telah dipahatkan di kelab ini, walau apa terjadi, kelab ini mesti sentiasa berdiri. Sayang Tunku pada kelab ini sama seperti sayangnya Tunku pada diri sendiri. Tunku pernah bertitah, kelab ini terbina untuk Bangsa Jauhar sebagai hadiah. Kerana ini segala tenaga ikhlas Tunku kerah, memastikan kelab ini terus dipandang gah.
“Korbankan wang dan juga harta”
Tunku tidak pernah berkira apabila atas nama kelab itu proposisi. Berapa nilai ringgit Tunku tidak peduli tiada isolasi. Yang Tunku tahu, kelab ini harus untuk bertahan. Tunku tidak pernah merungut untuk mengikut kehendak penyokong campur tangan dalam pengurusan.
Apabila kita berkehendak menukar pemain dalam kesebelasan, dengan rela Tunku turutkan. Walhal kita tidak tahu apa masalah dalaman, apa yang berlaku dalam kitaran seharian. Tidak Tunku dedahkan kerana tahu ia bakal mengaibkan.
Pernah sekali penyokong meminta diambil pemain luar yang pernah rebelius, Tunku setuju lalu Tunku realisasi biarpun tahu ianya bakal membawa virus. Impresionistik pemain itu tidak pernah berubah, realitinya Tunku sedar perkara lama akan berulang semula. Namun kerana kita, Tunku terpaksa mengalah. Akhirnya yang ditakuti itu terjadi semula, pengkhianat itu sebenarnya tidak layak diberi peluang kedua.
Tidak Tunku beritahu berapa wang kocek sendiri telah Tunku belanjakan. Yang penyokong tahu merengek meminta itu dan ini dan dikabulkan segala permintaan.
Akhir kalam,
Akhirnya kita sedar semuanya yang Tunku buat adalah demi satu tujuan. Menaikkan martabat Bangsa Jauhar supaya tidak dipandang rendah dalam pandangan. Hanya kita rakyat yang Tunku dahulukan. Tunku adalah adiratna yang wujud dalam kehidupan.
Kita renung diri kita sendiri,
Mampukan kita korbankan masa dan waktu untuk menyokong Harimau Selatan setiap minggu? Mampukah kita menahan emosi marah ketika kita dikeji oleh penyokong lain yang mengganggu? Mampukah kita mengorbankan jiwa dan raga untuk pasukan ketika jatuh dan rebah? Dan akhirnya mampukah kita mengorbankan wang ringgit untuk kelab yang kita sayangi supaya terus bernyawa?
Tepuk dada tanyalah selera.
Yang pasti Tunku tidak meminta apa-apa kecuali sokongan dan kesetiaan. Hanya itu yang mampu mengukirkan satu senyuman. Yang pasti beri Tunku satu kepuasan yang tiada pengakhiran.
"Takkan kita rebah walau berlawan arus,
Takkan kita goyah walau tidak sama jurus,
Selagi semangat yang kudus tidak lagi tertimbus,
Selagi nafas dan nadi masih gagah dan terurus."
Merah itu darahmu,biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan,perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat,buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan