Jangan pandai kritik, datang stadium...

PEMINAT bola sepak tempatan diharap dapat mengubah mentaliti ‘penyokong lalang’ yang hanya hadir ke stadium ketika pasukan menang atau berada pada prestasi terbaik.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah mengakui kumpulan penyokong yang dilabel ‘lalang’ itu hanya pandai melontar kritikan ketika prestasi pasukan merudum.
Asmadi berkata, mentaliti seperti ini perlu diubah dalam memastikan bola sepak tempatan terus berkembang dan setanding dengan liga di negara luar yang lebih maju.
“Memang betul apa yang Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim katakan sebelum ini yang penyokong seperti ini hanya pandai mengkritik, tapi tak pergi ke stadium.
“Mungkin mereka perlukan masa kerana banyak terpengaruh dengan media sosial. Tapi beberapa faktor lain termasuk ketiadaan pemain ternama dan perjalanan liga kita yang panjang juga menyebabkan penyokong semakin berat hati untuk ke stadium.
“Jadi, kami sebagai kelab penyokong yang sentiasa bersama pasukan berharap semua peminat terutama di Kedah dapat memberi sokongan padu kepada pasukan tidak kira ketika menang atau kalah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan jumlah kehadiran penyokong ke stadium kritikal berikutan enam daripada lapan gelanggang bagi aksi pembukaan Piala Malaysia dihadiri kurang daripada 3,000 penonton.
Malah, isu berkenaan turut mendapat perhatian bekas jurulatih skuad kebangsaan Mohd Azraai Khor Abdullah yang mengakui kecewa dengan jumlah kehadiran penyokong ke stadium.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid pula menjelaskan seluruh penyokong perlu menunjukkan sokongan padu kepada pasukan bagi memastikan segala perubahan yang diharap dari pihak pengurusan dapat dilaksanakan.
“Memang ada penyokong yang mana bila pasukan kalah tak nak turun (ke stadium), saya rasa benda macam ini tidak patut berlaku. Memang sukar untuk menilai setiap penyokong dalam Liga Malaysia ini.
“Seperti di Selangor, kita sudah dapat presiden baru dan kembali beraksi di Shah Alam, jadi kita sepatutnya memberi sokongan untuk perubahan pasukan bagi musim depan.
“Mungkin juga kerana prestasi pasukan tidak baik sekarang ini menyebabkan penyokong kurang ke stadium, tapi perlu teruskan sokongan dan bukan hanya menunggu pasukan ke final,” katanya.

Ulasan