HM SULTAN OF JOHOR: DON'T TURN THE STATE LEGISLATIVE ASSEMBLY INTO A CIRCUS

SULTAN JOHOR - JANGAN JADIKAN DUN SEPERTI SARKAS
DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Johor supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berada dan berbahas di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Saya tidak mahu dewan ini (DUN) dijadikan seperti sarkas. Sekiranya ada Ahli-Ahli Dewan yang bertindak melampau batas dan melanggar peraturan, maka arahkan mereka keluar dewan.
"Speaker DUN perlu menjalankan tugas dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan berjalan dengan berhemah serta teratur," titah Baginda.
Tuanku Sultan Ibrahim bertitah demikian pada pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru hari ini (9 Ogos).
Berangkat sama, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Tuanku Sultan Ibrahim bertitah, sebagai raja yang memerintah, Baginda akan sentiasa memantau pentadbiran kerajaan, memberikan nasihat serta pandangan kepada Menteri Besar dan pentadbirannya.
Sultan Johor turut mengingatkan Kerajaan Negeri supaya berhati-hati apabila membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan desakan orang luar yang tidak tahu sejarah serta cara pentadbiran negeri Johor.
"Baca dan fahami setiap perkara yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, yang telah menjadi asas kepada pembentukan dan kemajuan negeri Johor sehingga ke hari ini," titah Baginda.





Ulasan