PENYERANG JDT, Fernando Andres menanduk bola ke arah pintu gol Kedah namun berjaya dinafikan penjaga gol Kedah, Ramdhan Ab Hamid dalam perlawanan Piala Malaysia kumpulan C di Stadium Larkin di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE/ RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 10 Ogos - Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Kedah 5-1 dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di sini, sebentar tadi.
Skuad Lang Merah menjadi mangsa lepas geram Harimau Selatan selepas tewas mengejut 2-1 pada aksi pembukaan Piala Malaysia di tangan MIFA FC, Ahad lalu.
Fernando Marquez, Natxo Insa, Ahmad Hazwan Bakri, Gonzalo Cabrera dan S.Kunanlan masing-masing meledak satu gol buat pasukan tuan rumah manakala gol tunggal Kedah dijaringkan Sandro Da Silva.
Pasukan tuan rumah terlebih membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi tandukan Marquez yang menyempurnakan hantaran Cabrera untuk meletakkan JDT di hadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Lang Merah kembali mengatur gerakan ke arah gawang lawan dan berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-34 hasil jaringan Sandro.
Pasukan bimbingan jurulatih baharu Luciano Figueroa tidak menunggu lama untuk menambah jaringan sebaik babak kedua bersambung apabila Insa menjaringkan gol dengan melakukan rembatan deras dalam kotak penalti pada minit ke-46.
Skuad Harimau Selatan terus bernafsu memburu jaringan dan kali ini giliran Hazwan mencetak gol buat pasukan tuan rumah hasil sepakan percuma pada minit ke-71.
Pada minit ke-81, tiba giliran Cabrera mencipta jaringan hasil gerakan cantik yang diilhamkan Inso dan melorongkan bola kepada Marquez sebelum membuat hantaran kepada penyerang kelahiran Argentina yang tidak dikawal pemain pertahanan lawan untuk menjaringkan gol keempat.
Kunanlan melengkapkan pesta gol skuad Harimau Selatan apabila meledakkan gol kelima perlawanan pada penghujung permainan.
Sementara itu, MIFA FC meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Kelantan 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Kemenangan itu menyaksikan mereka terus menerajui carta Kumpulan C dengan mengumpul enam mata manakala JDT di kedudukan kedua dengan tiga mata.- UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan