KUALA LUMPUR: Pengendali MIFA, K Devan gembira melihat prestasi anak buahnya terutama kombinasi antara tonggak import dan tempatan yang makin menunjukkan keserasian dalam dua aksi Piala Malaysia setakat ini.
Katanya, kejayaan melakar dua kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan C dengan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kelantan malam tadi, meletakkan mereka selesa memimpin carta kumpulan di tangga pertama.
"Pemain sentiasa memberi 100 peratus di atas padang dan itu adalah ‘kunci’ kepada kejayaan pasukan setakat ini.
"Pemain juga menunjukkan tahap persefahaman yang baik antara import dan tempatan. Kita sedar bukan mudah untuk menentang pasukan dari Liga Super (JDT dan Kelantan) yang mempunyai tempo permainan laju.
"Tapi kami tidak menjadikan ianya alasan, sebaliknya pemain dapat memberi tentangan hebat dalam dua perlawanan dan akhirnya meraih kemenangan," katanya yang berjaya memimpin pasukan menamatkan perjuangan di posisi ketiga Liga Perdana musim ini.
Dalam aksi kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi, MIFA mengekalkan rentak kemenangan apabila mudah menewaskan Kelantan 2-0 menerusi sepakan penalti, Kpah Sherman pada minit ke-25 dan J Satrunan minit ke-74.
Sebelum itu, pada aksi pertama di Larkin menyaksikan MIFA mengejutkan juara bertahan JDT dengan 2-1.
"Kami mahu cuba melangkah sejauh mungkin. Saya selalu ingatkan pemain agar fokus dan kekalkan momentum ini.
"Kami sudah melakukan yang terbaik dan kemenangan ini menaikkan moral untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang."
Ulasan
Catat Ulasan