PEMAIN MISC-MIFA, B. Tinagaran (kiri) cuba merampas bola dari Liridon Krasniqi dalam kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar hari ini.- FOTO UTUSAN/FARIZ RUSADIO
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kedah akhirnya berjaya memastikan tiga mata berpihak kepadanya apabila menumpaskan MISC-MIFA 3-2 dalam perlawanan ketiga Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Pemain tengah skuad Lang Merah, Sandro Da Silva mengesahkan mata penting tersebut apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-65 setelah rakan sepasukan Liridon Krasniqi dua kali menyamakan kedudukan untuk Kedah (penalti m-42, m-59).
MISC-MIFA terdahulu sentiasa mendahului perlawanan menerusi jaringan Kpah Sean Serman pada minit ke-27 dan Syazwan Tajudin (m-47).
Biarpun tewas, skuad The Indian yang dikendalikan K. Devan tetap unggul dalam Kumpulan C apabila mengumpul enam mata, manakala Kedah empat di kedudukan ketiga.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah apabila seri 2-2 menentang Felcra FC, sekali gus membolehkan mereka terus unggul dalam Kumpulan A.
Skuad Penyu memperoleh dua jaringan menerusi penyerang Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-20 dan 45, sebelum Felcra bangkit menyamakan kedudukan hasil ledakan gol Mohd. Alif Samsudin (m-59) serta Abdul Azim Rahim (m-89).
Sementara itu, Matthew Davies muncul wira Pahang apabila meledak gol kemenangan 1-0 ke atas PKNP FC di Stadium Perak, dan membolehkan skuad bimbingan Dollah Salleh itu mengungguli Kumpulan D dengan pungutan tujuh mata.- UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan