Benteng alpa punca tewas


AKSI perlawanan Liga Malaysia, Kedah bertemu MIFA di Stadium Darul Aman. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Kealpaan benteng pertahanan selepas mendahului antara faktor kekalahan MIFA tumpas 2-3 kepada Kedah dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam tadi.
"Masalah utama kami adalah hasil kesilapan benteng pertahanan yang menyebabkan kami dibolosi selepas mendahului dua kali.


"Saya juga merasakan tuah tidak memihak kepada kami. Jika kami dapat menjaringkan gol kedua melalui sepakan penalti, keputusan mungkin berubah. Itu yang menjadi 'turning point'," kata ketua jurulatih MIFA K Devan.
Menurutnya, Kedah mempunyai kelebihan kerana memiliki ramai pemain berpengalaman selain beraksi di laman sendiri sedangkan MIFA membuat beberapa kesilapan yang membolehkan pemain tuan rumah mengambil kesempatan untuk menjaringkan tiga gol.
"Ini pengalaman pertama kami beraksi menentang Kedah. Lagipun bukan mudah beraksi di Darul Aman ketika kami hadir sebagai 'underdog' kerana kami pendatang baharu sedangkan Kedah sudah mempunyai pengalaman luas dalam Piala Malaysia," katanya.
Ditanya sama ada MIFA memandang mudah Kedah yang tidak menunjukkan prestasi terbaik sebelum ini, Devan berkata mereka tidak pernah beranggapan sebegitu, malah membuat persiapan dengan tekad untuk menang.

Ulasan