PASUKAN MISC-MIFA mencipta kejutan apabila berjaya menjinakkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 dalam aksi pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin.
Turun beraksi kali pertama dalam saingan piala berprestij tersebut, nyata pasukan daripada Liga Premier itu bukan pasukan yang boleh dipandang mudah, sebaliknya semua pencabar harus berwaspada dengan kehadiran skuad bimbingan K. Devan (gambar kecil) itu.
Devan menyifatkan kejayaan menundukkan pasukan gergasi seperti JDT adalah satu pengalaman bermakna buat pasukannya.
“Kami turun kali pertama dalam kempen Piala Malaysia adalah untuk mencari pengalaman dan memberi saingan kepada pasukan yang bertanding.
“Kami tidak ada apa-apa sasaran, menang atau kalah tidak kisah. Apa yang penting bagi kami ialah pendedahan bermain dengan pasukan elit.
“Kita tengok pasukan dalam Kumpulan C semuanya pasukan elit, JDT, Kedah dan Kelantan. Kami hadir untuk memberi saingan sengit kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas aksi perlawanan tersebut kelmarin.
Pada aksi kelmarin, penyerang MISC-MIFA, Kpah Sean Sherman memecah kebuntuan apabila menghasilkan gol pertama pada minit ke-18.
Tersentap dengan jaringan pembukaan itu, JDT memperkasakan asakan ke kubu lawan sehingga berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti minit ke-67 yang disempurnakan Fernando Andres Marguez.
Pada separuh masa kedua, pemain tengah MISC-MIFA, Beomgeun Bae memastikan pasukannya berjaya menundukkan Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-75.
Mengulas aksi perlawanan itu, Devan memuji kerja keras penjaga gol pasukannya, Mohd. Muhaimin Mohamd yang bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya JDT untuk menjaringkan gol.
“Kita lihat JDT berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan gol namun kecemerlangan Mohd. Muhaimin menidakkan beberapa percubaan cantik pihak lawan, pujian harus diberikan kepada pemain ini,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan