ALEGORI KLASIKAL HARIMAU SELATAN
Di suatu petang yang panas terik, sambil menikmati secawan teh tarik, saya mencapai senaskhah surat khabar, cerita politik tiada henti mereka tular, lalu saya langkah ke muka surat akhir helaian makalah, berita sukan juga mereka cemar dengan berita penuh helah, boleh membuat satu Malaya berpecah belah.
Semasa saya menamatkan bacaan yang spontan, tiba-tiba ternampak satu tarikh di helaian, Tujuh Ogos tertulis pada kenyataan, terus saya teringat satu peristiwa penting pada tarikh kejadian!
"Hilangnya permata Ujong Tanah"
Tujuh Ogos!
Terus surah al-fatihah saya bacakan dan doa saya titipkan kepada Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor yang genap setahun meninggalkan kita dalam kiraan. Dikenali sebagai Bapa Bola Sepak Johor, meninggal dunia ketika berumur lapan puluh lapan tahun jadi pengakhiran, suatu masa dahulu menjadi titik tolak pencetus dalam kebangkitan, ketika era sembilan belas lapan puluhan sehingga sembilan belas sembilan puluhan jadi ingatan.
"Jasa adiratna"
Saya antara yang dapat merasa kegembiraan pada dua November sembilan belas sembilan puluh satu! Tarikh pasukan Johor menjulang Piala Malaysia ketika Selangor tunduk tiga berbalas satu.
Tarikh ini adalah titik tolak saya mengenali pasukan bola sepak yang membawa nama Johor. Ketika itu saya baru berumur sepuluh tahun dan ingatan itu masih subur. Sejak dari tarikh itu, saya mula dekat bersama merah biru, setia menunggu berita pasukan apa yang terbaru.
Akibat kurang liputan mengenai pasukan Johor di media massa, di sebelah radio bersiap sedia setiap hari Sabtu juga hari Selasa, liputan dari RTM Johor wajib ditunggu, pengulas yang bertugas adalah A Madevan dan Taroni Khalid di waktu itu, selepas itu pada pukul sepuluh malam ada pula ulasan dari venue ke satu venue.
"Kontingensi Masa"
Namun, hari mula beransur meninggalkan kita dengan laju, bagai Bugatti Chiron masa berlalu detik dipacu transmisi tujuh, jam randik bergerak kelajuan maksima, akhirnya kejayaan itu menjadi sejarah yang terlalu lama.
Tahun demi tahun, hari pula berganti hari, setelah tiba masa Allahyarham perlu mengundurkan diri, sedikit demi sedikit bola sepak Johor menjadi suram. Segala kejayaan tidak berdaya kita genggam, akibat daya ketahanan mula pincang dan goyang, setelah tiada siapa pengganti yang berkredibiliti layak memegang.
Namun semuanya berubah. Setelah tujuh belas tahun kita lemah, tanpa disangka DYAM Tunku Ismail datang kontingensi, menyelamatkan bola sepak Johor dari terus parah kontaminasi.
"Kuratif intensititi"
Sinar bola sepak Johor mula menyerlah jelas, sekitar bulan Januari dua ribu dua belas, DYAM Tunku Ismail mengumumkan secara rasmi dalam laman Twitter miliknya bahawa baginda bersetuju memikul beban, maka menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor telah Tunku perkenankan. Tunku juga menyatakan matlamat untuk menghindar kuasa politik yang campur tangan, dalam arena sukan bola sepak penyebab utama kita mundur, sekaligus mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor supaya tidak terkubur.
DYAM Tunku Ismail menjadikan Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor sebagai sumber inspirasi, setiap gerak kerja Allahyarham, Tunku jadikan aspirasi.
"Kejayaan sesebuah pasukan adalah bergantung kepada pemain, kewangan, padang, jurulatih, kapten dan motivator" - 2013, Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor.
Hasilnya, bermula tahun dua ribu tiga belas, Sorakan Larkin kembali gegak gempita, stadium ini mula dibanjiri dan dipenuhi setiap sudut oleh rakyat jelata.
Empat November Dua ribu tujuh belas!
Dua puluh enam tahun penantian berjaya ditamatkan, juara Piala Malaysia 2017 JDT dinobatkan, selepas melakar kemenangan dua kosong ke atas Kedah juara bertahan, pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, tempat pertembungan.
Ketika itu DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mendedikasikan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi kepada Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor. Tanda jelas bahawa Allahyarham dijadikan sebagai mentor.
“Kesetiaan adalah apabila kita meneruskan legasi seseorang bukan hanya ketika mereka masih ada tapi juga meneruskan legasi itu ketika mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Saya dedikasikan piala ini kepada Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor, individu yang pernah membawa pasukan Johor memenangi Piala Malaysia 26 tahun lalu. Sejak saya mengambil alih era bola sepak Johor yang baru, saya berjanji kepada beliau yang saya akan mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri Johor," - DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Akhir kalam,
Di masa yang terkini, kita harus bersyukur apa yang kita kecapi, yang telah meninggalkan kita tetaplah diingati, yang ada di sini bersamalah kita hargai. Kita satukan hati menyokong segala perkara yang Tunku usahakan, jangan terikut segala agitasi dan juga hasutan. Infrasonik suara sokongan harus kita sentiasa tiupkan, sebagai bekalan dalam perjalanan menuju kejayaan kita dapat teruskan.
Belum terlambat untuk kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Dato Suleiman. Semoga dicucuri rahmat dan dalam perlindungan tuhan. Amin.
Al-Fatihah.
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel : Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
Ulasan
Catat Ulasan