TEKANAN terhadap Kelantan untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan kembali memuncak selepas pesaing terdekat Negeri Sembilan berjaya menewaskan Selangor 3-1 kelmarin, sekali gus menyaksikan pasukan dari Pantai Timur itu jatuh ke tangga tercorot.
Misi untuk The Red Warriors (TRW) kembali memintas Negeri Sembilan dilihat sukar apabila mereka bakal berdepan ujian getir menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunus, Larkin malam ini.
Bagaimanapun, pemangku jurulatih TRW, Yusri Che Lah tetap positif untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata pada pertemuan itu nanti.
Yusri berkata, beliau akan menyediakan ramuan terbaik bagi mendapatkan jaringan, seterusnya memerangkap lawan walaupun ia bukan tugas mudah ditambah pula JDT mahu meraikan kejayaan meraih Liga Super buat kali kelima berturut-turut.
“Misi kami ke Larkin sememangnya inginkan mata. Jika kami mendapat satu mata ia adalah sesuatu yang amat baik. Untuk itu, saya mahu pemain lebih bermotivasi dan mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya.
Yusri memberitahu, beliau akan membawa dua ‘ubi muda’ iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Mohd. Syaiful Alias yang baru sahaja membantu skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) meraih kejuaraan AFF (Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN) bagi memperkuatkan pasukan.
Katanya, kehadiran dua pemain itu mampu memberikan motivasi kepada pasukan untuk mengharungi ujian getir tersebut.
“Kembalinya Nik Akif memberi kelebihan kepada pasukan kerana dia merupakan pemain yang bagus di tengah.
“Begitu juga dengan Mohd. Syaiful yang memberi ruang kepada saya merencana strategi terbaik kerana kita tahu JDT merupakan pasukan yang berada dalam kelasnya tersendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yusri sekali lagi menuntut barisan pemainnya supaya fokus dan tidak memberikan laluan mudah buat JDT.
Katanya, pertemuan ini akan menjadi penentu kepada nasib pasukan untuk bersaingan pada Liga Super 2019 dan Piala Malaysia nanti.
Ulasan
Catat Ulasan