Tekad wira JDT

PEMAIN JDT meraikan kemenangan selepas menewaskan Perak 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
IPOH: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rashid yang menjadi wira Harimau Selatan ketika menumpaskan Perak 2-1, malam tadi bertekad untuk merebut kembali kedudukannya dalam kesebelasan utama pasukan itu.
Safawi yang dimasukkan pada babak kedua perlawanan itu berjaya menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-83 sekali gus membolehkan JDT dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut tatkala berbaki empat perlawanan lagi.
"Saya bersyukur berjaya menjaringkan gol kemenangan pasukan untuk mengesahkan kedudukan kami sebagai juara sekali gus layak beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).
"Kini saya bertekad mahu merebut kembali kedudukan dalam kesebelasan utama pasukan selepas sekadar menjadi pemain gantian untuk beberapa perlawanan," katanya yang ditemui selepas perlawanan di Stadium Perak itu.
Nada gembira turut disuarakan pengendali JDT, Raul Longhi yang nyata lega apabila pemainnya berjaya bangkit untuk menukar corak permainan dan keputusan perlawanan.
"Pemain percaya dengan apa yang kami cuba lakukan, kami cuba menang walaupun ketinggalan. Pemain bertarung hingga 95 minit permainan sebagai satu pasukan.
"Kadangkala sesuatu perlawanan itu amat sukar. Pada babak pertama kami bermain baik tetapi tidak menjaringkan gol.
"Begitupun, kami berjaya melakukannya dan kami mahu menang untuk Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), saya tahu beliau pasti gembira," katanya.

Ulasan