Piala Malaysia saji ulangan dua pentas final




BEKAS pemain kebangsaan, Azman Adnan (kiri) menunjukkan cabutan undian saingan Piala Malaysia 2018 di Damansara Performing Arts Centre, sebentar tadi. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI

KUALA LUMPUR: Kancah Piala Malaysia 2018 menjanjikan saingan menarik apabila ulangan dua perlawanan akhir dapat disaksikan seawal peringkat kumpulan.
Dua finalis Piala Malaysia tahun lalu - penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) diundi bersama naib juara, Kedah dalam Kumpulan C sekali gus menyaksikan pertembungan dua pasukan itu bakal menjadi tumpuan dalam misi merebut dua tempat teratas untuk tiket ke suku akhir.
Dua pasukan lagi, Kelantan yang muncul pasukan terakhir mara ke saingan Piala Malaysia dan juga pasukan Liga Perdana, MIFA melengkapkan senarai empat pasukan dalam Kumpulan C.
Saingan Kumpulan D pula menyaksikan pertembungan dua finalis Piala FA musim ini, Pahang yang diundi bersama juara 33 kali, Selangor dalam kumpulan sama sekali gus menyajikan 'pertembungan balas dendam' selepas The Red Giants tewas 0-2 di tangan Pahang pada aksi final, awal bulan lalu.
Malah, Kumpulan D juga boleh dilihat sebagai kumpulan yang sukar apabila turut disertai pasukan yang berjaya mara ke suku akhir tahun lalu, PKNP FC yang dijangka menjadi 'pengacau' buat dua pasukan pilihan itu selain Sabah yang melengkapkan slot keempat.
Pada majlis undian di Pusat Persembahan Seni Damansara (DPAC) hari ini, saingan Kumpulan A pula menyaksikan pertembungan tiga pasukan negeri dengan naib juara Liga Super, Perak diletakkan sebagai pasukan pilihan diiringi Terengganu, Kuala Lumpur dan pasukan yang melakukan penampilan kali pertama dalam Piala Malaysia, FELCRA FC.
Berbeza dengan Kumpulan A, Kumpulan B pula membabitkan pertembungan tiga pasukan bertaraf kelab iaitu juara Liga Perdana, FELDA United ; PKNS FC dan PDRM selain satu pasukan negeri dari Liga Super, Melaka United.
Aksi pertama peringkat kumpulan akan bermula 4 dan 5 Ogos dengan aksi terakhir peringkat kumpulan akan berlangsung pada 14, 15 dan 16 Ogos.
Saingan suku akhir pertama dijadual bermula pada 21, 22 dan 23 September sementara suku akhir kedua pada 28, 29 dan 30 September.
Separuh akhir pertama akan berlangsung pada 5, 6 dan 7 Ogos manakala separuh akhir kedua pada 19, 20 dan 21 Oktober dengan perlawanan akhir dijadual pada 27 Oktober.
Edisi 2017 di Stadium Shah Alam menyaksikan JDT merangkul trofi Piala Malaysia buat kali pertama sekali gus melengkapkan koleksi trofi domestik selepas menundukkan Kedah 2-0 menerusi jaringan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gonzalo Cabrera.
Undian penuh Piala Malaysia

Kumpulan A: Perak, Terengganu, Kuala Lumpur, FELCRA FC
Kumpulan B: PKNS FC, Melaka United, FELDA United, PDRM
Kumpulan C: JDT, Kedah, Kelantan, MIFA
Kumpulan D: Pahang, Selangor, PKNP FC, Sabah

Ulasan