Piala Malaysia: MIFA sedia beri cabaran




K Devan - Foto SYAMSI SUHAIMI

SEREMBAN: Selepas meraih pencapaian yang membanggakan di tempat ketiga Liga Perdana, MIFA bertekad untuk meneruskan rentak terbaik itu dalam saingan Piala Malaysia, yang membuka tirainya, Sabtu ini.



Ketua jurulatih pasukan itu, K Devan berkata, walaupun diletakkan dalam Kumpulan C bersama pasukan elit iaitu Johor Darul Ta`zim (JDT), Kedah dan Kelantan, namun ia tidak akan menghadirkan rasa gentar.
"Memang kami diletakkan dalam kumpulan yang paling mencabar kerana membabitkan pasukan elit termasuk juara bertahan, namun ia tidak akan menerbitkan rasa gementar kerana kami beranggapan semua pasukan mempunyai peluang yang sama rata.
"Kami akan berusaha keras untuk memberikan tentangan kepada setiap pasukan lawan dan akan memastikan suatu keputusan positif dapat dicapai.
"Namun kami tidak akan meletakkan sasaran tinggi kerana sedar ia pengalaman pertama dalam perebutan piala berprestij itu, tambahan pula cabaran yang bakal dihadapi bukan mudah, malah jauh lebih sengit berbanding dalam Liga Perdana," katanya hari ini.
Devan berkata, pihaknya yakin anak buahnya mampu memperagakan aksi mantap sepertimana diharapkan berlandaskan keyakinan tinggi yang dicapai hasil pencapaian yang membanggakan dalam Liga Perdana musim ini.
"Saya yakin pemain MIFA sudah mendapat keyakinan lebih baik hasil pencapaian yang amat memberangsangkan dalam liga dan percaya ianya akan membantu mereka untuk memperagakan aksi mantap pada kempen Piala Malaysia," katanya.
Mengulas mengenai pencapaian dalam liga, beliau yang mengendalikan pasukan itu bagi musim pertama tahun ini, akui berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain.
Menurutnya, walaupun dalam keadaan sumber yang terbatas tetapi pemain berjaya menunjukkan persembahan yang membanggakan sehingga mencapai keputusan di luar jangkaan.
"Pada awalnya, saya tidak meletakkan sasaran tinggi tetapi selepas pertengahan musim dapat melihat kekuatan yang ada pada pasukan dan peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memberikan cabaran.
"Selaku jurulatih, pencapaian ini bukan saja amat mengembirakan, malah mampu menaikkan imej MIFA dalam persada liga bola sepak domestik," kata bekas pengendali Negeri Sembilan itu.

Ulasan