Pertahanan mantap jamin kejayaan JDT



PEMAIN Kedah, Muhamad Akram Mahinan diasak pemain JDT, Ignacio Insa Bohigues pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Faktor pertahanan mantap merupakan antara resepi kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) dapat meneruskan kejayaan mencapai kemenangan berterusan termasuk menewaskan Kedah 2-1 pada pelawanan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.
Ketua Jurulatih JDT kelahiran Argentina Raul Longhi, berkata skuad Harimau Selatan  yang beraksi dengan 'padat' pada perlawanan malam tadi berjaya mengelak dibolosi dan ini dibuktikan pada separuh masa pertama perlawanan.
"Walaupun kita ada dua hingga tiga peluang untuk menambah gol tetapi dua gol pada babak pertama ini menyukarkan Kedah untuk bangkit dan dengan pertahanan yang tersusun menyukarkan pihak lawan bangkit menghasilkan gol dan kami memiliki organisasi yang baik di bahagian pertahanan."
"Berhadapan JDT, adalah sukar untuk pihak lawan untuk mendapatkan gol dan pada musim ini kami hanya dibolosi dengan 7-8 gol setakat ini."
"Babak pertama kita bermain corak 'biasa kita' dan kita berjaya menguasai perlawanan dengan kawalan bola dalam tempoh 45 minit yang begitu baik, namun babak kedua kita mengalami sedikit masalah kerana kita mula hilang kawalan bola dan terpaksa beraksi kemudian dengan 10 pemain selepas mendapat kad merah dan ianya menyukarkan kami."
"Dalam keadaan begitu kami terpaksa menukar ke formasi 4-4-1 dan kami kembali mendapat kawalan namun keputusan penalti itu menyukarkan kami tapi apa boleh buat itu keputusan pengadil."
Longhi juga menegaskan apa yang lebih penting adalah JDT berjaya mengekalkan mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan yang dilalui.
"Bukan mudah apabila sudah menjuarai Liga Super dan pada perlawanan lain pula cuba untuk terus mengekalkan kemenangan, tapi pemain berjaya mengekalkan mentaliti kemenangan dan bagi saya ianya satu perkara yang sangat baik."
"Kedah pasukan yang bagus dan bermain dengan corak bolasepak yang baik serta mempunyai pemain yang bagus," katanya.
Raul juga berbangga dengan persembahan penjaga gol Farizal Marlias yang berjaya menyelamatkan penalti oleh pasukan Kedah pada malam ini.
"Farizal penjaga gol yang memiliki pengalaman dan beliau berjaya menyelamatkan sepakan penalti pada malam ini dan berjaya menunjukkan prestasi yang baik."
JDT akan meneruskan fokus untuk perlawanan seterusnya di Johor bertemu pasukan Kelantan dan seterusnya membuat persedian untuk kempen Piala Malaysia.

Ulasan