Langkau ke kandungan utama

Peluang Selangor lunas dendam


Kempen Piala Malaysia jadi pentas buat Gergasi Merah tebus kekecewaan dihampakan Pahang pada final Piala FA 2018



PEMAIN Selangor, Amri Yahyah (kiri) dan pemain Pahang, Mohamadou Sumareh bakal berentap sekali lagi apabila kedua-dua pasukan diundi dalam Kumpulan D saingan Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini.


BEKAS pemain bola sepak negara, Azman Adnan (kiri) menunjukkan label pasukan Selangor pada majlis undian Piala Malaysia 2018 di Petaling Jaya semalam.

BAHANG kempen Piala Malaysia 2018 kian dirasai apabila majlis undian berlangsung di Petaling Jaya semalam.
Finalis Piala FA 2018, Pahang dan Selangor bakal membuat perhitungan semula apabila diundi dalam Kumpulan D pada saingan yang bermula Sabtu ini.
Pertembungan itu menjadi medan terbaik buat skuad Gergasi Merah untuk melunaskan dendam setelah dikecewakan Pahang 0-2 pada final yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur awal bulan ini.
Para peminat bola sepak tempatan juga bakal disajikan dengan aksi menarik finalis Piala Malaysia edisi lalu, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah yang diundi dalam Kumpulan C.
Skuad Harimau Selatan dalam misi mempertahankan trofi tersebut setelah memenanginya buat kali pertama setelah mengalahkan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam musim lalu.
Saingan peringkat kumpulan bakal berlangsung dari 4 Ogos hingga 16 September dan seterusnya saingan suku akhir pada 21 hingga 30 September.
Peringkat separuh akhir pula akan berlangsung pada 5 hingga 21 Oktober, manakala pentas final dijadualkan pada 27 Oktober depan.

Ulasan