Peluang rangkul kejuaraan

JOHOR BAHRU: Trofi kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut semakin menggamit penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kini mereka hanya perlu perlu memenangi aksi menentang Perak bagi menggapai impian itu pada aksi yang dijadualkan di Stadium Perak, di Ipoh malam esok.
Bagi merealisasikan pemburuan itu, pengendali JDT, Raul Longhi pastinya akan menurunkan kesebelasan utama terbaik tatkala misi bersaing Liga Juara-Juara Asia (ACL) menjadi keutamaan.
Bagaimanapun, Longhi mengakui berdepan skuad The Bos Gaurus bukan mudah kerana lawannya itu sudah pasti ingin menebus kehampaan ketika tewas 0-2 pada 2 Jun lalu.
“Sudah tentu kami akan berdepan satu perlawanan sukar. Namun persiapan rapi sepanjang tempoh rehat memberi lebih keyakinan kepada pemain mengharungi aksi 90 minit yang dijangka sengit.
“Dan saya juga tidak mahu memikirkan kejuaraan liga sebaliknya mahu setiap pemain yang diturunkan menentang Perak memberi tumpuan dan berusaha memenangi perlawanan ini.
“Ketika ini semua pemain bebas daripada kecederaan. Senario itu memberi saya ruang mengenal pasti barisan pemain terbaik untuk diturunkan nanti. Aidil Zafuan Abd Radzak juga kini bebas daripada penggantungan,” katanya.
JDT kini mengungguli tangga teratas liga selepas menamatkan 17 perlawanan dengan mengumpul 44 mata dan kemenangan ke atas Perak esok bakal menyaksikan pasukan itu melakar sejarah bola sepak Malaysia untuk muncul juara liga lima kali berturut-turut.
Namun di sebalik pemburuan itu, JDT harus berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Mehmet Durakovic yang tampak semakin meningkat selepas berada di tangga kedua liga hasil himpunan 31 mata.
Mereka pastinya ingin memburu kemenangan bagi mengekal kedudukan sehingga tamat saingan liga.
Justeru, barisan tengah JDT yang bakal diterajui Hariss Harun perlu bijak menangani kelicikan dua pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Walter Luiz yang menjadi nadi pasukan Perak.

Ulasan