'Musim ini cukup mencabar'


JOHOR BAHRU:
TONGGAK pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Fadhli Shas mengakui kejuaraan Liga Super musim ini lebih mencabar berbanding empat kejuaraan yang dimenangi sejak musim 2014.
Bagaimanapun Mohd Fadhli tetap meletak sasaran memastikan JDT terus cemerlang bagi meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan PKNP FC pada aksi liga di Stadium Perak, di Ipoh, malam esok.
Katanya, baki dua perlawanan yang diharungi JDT, bermula dengan aksi menentang PKNP FC, malam esok dan Kuala Lumpur pada 27 Julai untuk mengakhiri saingan liga elit domestik tidak boleh dipandang remeh sebaliknya pihaknya mahukan kemenangan.
"Musim ini cukup mencabar sebelum kami merealisasikan impian muncul juara liga lima musim berturut-turut dan saya gembira menambah koleksi kejuaraan sejak menyertai JDT pada musim 2014. Lebih manis kami layak bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negara.
"Kami berdepan pelbagai isu terutama pengambilan pemain import namun ia tidak menjejaskan tumpuan mengharungi saingan liga tatkala barisan pemain tempatan mampu menggalas tugas yang diamanahkan selain kebijaksaan pengurusan kelab mengatasi masalah itu.
"Ternyata pengalaman menjuarai liga pada musim ini amat manis yang tidak akan dilupakan dan ia hasil sokongan serta dorongan keluarga selain kami dalam satu pasukan sentiasa bekerjasama antara satu sama dengan semangat keluargaan yang menjadi tunjang utama kejayaan JDT," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.
Mengulas pertembungan menentang skuad kendalian Abu Bakar Fadzim yang kini berada di tangga kelapan liga, Mohd Fadhli berharap pemain JDT tidak leka dibuai kejayaan yang dikecapi dan kembali fokus mengharungi baki aksi liga.
Menurutnya, PKNP FC adalah pasukan yang mampu melakar kejutan apatah lagi beraksi di laman mereka sendiri dan sudah tentu pasukan itu akan turun dengan corak permainan pantas bagi memburu kemenangan.
"Siapa yang akan diturunkan pada aksi itu tidak boleh leka dan mengelak daripada membuat kesilapan mudah dan saya percaya walaupun persiapan menentang PKNP FC tampak singkat namun itu bukan alasan.
"Selaku juara liga, kami akan turun dengan persembahan yang mantap dan enggan pulang dengan tangan kosong kerana sasaran kami untuk baki dua perlawanan adalah mengutip mata maksimum," kata Mohd Fadhli.

Ulasan