Misi sukar Kelantan di Larkin



SHAFIQ Shaharudin. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Penyerang Kelantan, Shafiq Shaharudin tekad meledak gol dalam misi memburu tiga mata apabila  bertemu juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT)  pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu ini. 
Shafiq atau lebih dikenali dengan gelaran Macha berkata, skuad The Red Warriors (TRW) perlu lebih berwaspada kali ini untuk cuba menyaingi kekuatan pasukan lawan yang cukup kebal di laman sendiri.
Katanya, selepas hanya seri 1-1 dengan Melaka United (MU) Rabu lalu, TRW perlu bangkit mendapatkan kemenangan biarpun JDT kini dalam 'mood' ingin berpesta selepas baharu dinobatkan juara Liga Super.
"Kami tahu JDT kini berada di tangga teratas Liga Super. Mereka mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri dan pastinya akan memberikan tentangan sengit jadi kami dituntut bekerja keras," jelas pemain kelahiran Johor itu.
Shafiq yang sudah menjaringkan lima gol dalam saingan liga percaya dengan kehadiran semula pemain muda bersama pasukan pastinya akan memantapkan lagi jentera serangan.
"Nik Akif Syahiran Nik Mat akan bersama pasukan serta penyerang import Brazil, Cristiano Santos untuk membantu bahagian tengah dan serangan," katanya.
Bekas pemain JDT II itu, berkata dengan percaturan terbaik jurulatih, Yusri Che Lah mereka mahu mencipta kebangkitan saat akhir dalam kempen Liga Super untuk mengelak daripada tersingkir apabila kini terperosok di tangga ke-11.

Ulasan