Longhi puas JDT juara



PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi jelas berpuas hati dengan komitmen kesebelasan utama pasukan itu yang membelasah Kelantan 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.
Walaupun sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat musim kelima berturut-turut dan tidak perlu mengejar kemenangan, Longhi masih menetapkan sasaran tiga mata bagi memastikan ‘pesta’ sebaik tamat perlawanan lebih bermakna menjulang trofi Liga Super di depan penyokong Harimau Selatan.
Katanya, kejuaraan itu hasil kerjasama sepasukan dan mengikut falsafah kelab yang menerapkan semangat kekeluargaan serta sentiasa fokus bagi memastikan apa jua yang dirancang mencapai matlamat.
“Itulah falsafah bola sepak JDT yang kami pegang dan pemain, barisan kejurulatihan serta pengurusan dapat melihat hasilnya. Malah saya berpuas hati dengan komitmen setiap pemain ketika latihan dan pada perlawanan sebenar,” katanya ketika ditemui Sukan NSTP.
Pada aksi menentang Kelantan malam tadi, anak didik Longhi terpaksa menanti babak kedua untuk merobek gawang skuad The Red Warriors (TRW) dan pengendali kelahiran Argentina itu mengakui agak sukar untuk menembusi benteng pasukan yang begitu berdisiplin sepanjang babak pertama.
Beliau berkata, corak permainan skuad kendalian Yusri Che Lah secara berlapis dan padat menyukarkan pemain tengah diterajui Fernando Elizari dan Natxo Insa melakukan umpanan.
Malah beliau juga tidak menafikan pemainnya berdepan kesukaran walaupun beraksi di laman sendiri kerana pasukan lawan bekerja keras untuk menewaskan JDT.
Bagaimanapun, ketenangan anak buahnya yang tidak mudah panik dan sentiasa fokus akhirnya berbaloi apabila mampu merobek pertahanan lawan.
“Kelantan pasukan yang liat untuk ditewaskan dan anda lihat sendiri mereka beraksi secara padat dan corak permainan berlapis antara posisi serangan, tengah dan pertahanan.
“Saya juga gembira dengan persembahan Safiq (Rahim) walaupun dimasukkan pada 20 minit sebelum tamat, dia menjadi penggerak untuk dua gol selain menyempurnakan sepakan penalti,” katanya.

Ulasan