Longhi 'masam' tonton aksi Johor DT


JURULATIH Johor DT (Johor Darul Ta’zim), Raul Longhi tidak berpuas hati dengan persembahan anak didiknya biarpun menang 2-1 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di Stadium Perak, malam tadi.
“Kami tidak bermain baik pada babak pertama. Walaupun menguasai permainan tetapi gagal menyudahkan peluang dicipta.
“Bagaimanapun, persembahan pada babak kedua lebih baik yang menyaksikan kami memperolehi dua jaringan,” katanya mengulas mengenai kemenangan ke-18 pasukan Harimau Selatan itu.
Longhi mengakui anak buah Abu Bakar Fadzim memberi tentangan sengit kepada Johor DT sambil menafikan juara liga Super lima kali itu bersikap terlalu yakin.
“Kami tidak pernah pandang mudah mana-mana pencabar kerana sedar setiap pasukan mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya.
Namun, pada keseluruhannya, jurulatih berasal dari Argentina itu berpuas hati dengan pencapaian Johor DT yang merakam 18 kemenangan, kalah dua dan seri sekali untuk mengutip 57 mata meninggalkan jauh pencabar terdekat dengan jurang 20 mata berbaki satu perlawanan.
Perlawanan terakhir pasukan itu ialah bertemu Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Ulasan