Langkau ke kandungan utama

JDT tewaskan PKNP FC 2-1 di Stadium Perak

pknp

Pemain PKNP FC, Mohd. Norhakim Isa (kiri) mengawal bola sambil diikut rapat pemain JDT, Ignacio Insa Bohigues dalam perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Perak di sini. Foto oleh KAMAL BASIR WAHAB.
IPOH - Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila kalah tipis 1-2 kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
JDT terlebih dahulu bermula garang pada awal perlawanan apabila banyak mengawal bola namun serangan yang disusun mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan PKNP FC. 
Pasukan pelawat terus menyusun serangan dan mereka hampir mendapat jaringan selepas pemain penyerang mereka, Ahmad Hazwan Bakri menendang bola namun sedikit tersasar ke kanan gawang PKNP FC. 
Pasukan tuan rumah kembali memperkemaskan rentak permainan dan pemain tengah mereka, Clovis Franklin Anzite mendapat peluang baik untuk mendapatkan jaringan awal namun tendangannya tidak tepat ke gawang JDT. 
Pada minit ke-30, Hazwan sekali lagi mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun tandukannya sedikit tersasar ke kiri gol PKNP FC. 
Bermula babak kedua, para pemain kedua-dua pasukan terus mempamerkan corak menyerang bagi mendapatkan gol dan JDT akhirnya beroleh jaringan menerusi Fernando Andres Marquez yang menendang deras bola dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol PKNP FC, Muhamad Syazani Mat Puat pada minit ke-73.
Dua minit berselang, pada penyokong JDT sekali lagi bersorak keriangan apabila pemain gantian, Muhammad Syafiq Ahmad mudah menyempurnakan bola hantaran rakan sepasukan untuk JDT mendahului PKNP FC 2-0. 
Anak buah Abu Bakar Fadzim bagaimanapun enggan mengalah dan terus berusaha mendapatkan jaringan melalui serangan ke kubu lawan. 
Hasilnya pemain gantian PKNP FC, Fandi Ahmad mendapat peluang baik dan dia merembat masuk bola tepat ke gawang JDT pada minit ke-78. 
Keputusan 1-2 tersebut kekal sehingga ke minit akhir perlawanan. - K! ONLINE

Ulasan