JOHOR BAHRU: Selepas merealisasikan impian menjuarai Liga Super buat kali kelima berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini mahu mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.
Namun pengendali JDT, Raul Longhi terpaksa melupakan khidmat beberapa pemain yang menyertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk persiapan Sukan Asia Jakarta-Palembang, Indonesia, bulan depan.
Apa pun pengendali kelahiran Argentina itu tidak gusar tatkala melepaskan Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad dan Aidil Zafuan Abd Radzak walaupun mereka tidak akan bersama JDT mengharungi kempen piala berprestij itu untuk sekurang-kurang tiga perlawanan.
“Mereka adalah antara pemain terbaik dan akan mewakili negara. Kenapa saya perlu risau. Kami ada cukup pemain untuk menggantikan mereka dan persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia tidak terjejas walaupun tanpa mereka pada tiga perlawanan awal bermula bulan depan.
“Saya ada Nazmi Faiz (Mansor), Safiq (Rahim), Kiko (Insa) dan Natxo (Insa) selain beberapa pemain lain untuk kejohanan itu. Apapun kami perlu membuat persiapan rapi untuk mengharungi setiap perlawanan.
“Kami tidak mahu menyatakan ia saingan mudah, sebaliknya mahu kekal fokus untuk menentang setiap pasukan dalam kumpulan kerana menganggap semua pasukan cukup hebat,” katanya.
Mengulas persembahan skuad Harimau Selatan sepanjang kempen liga elit domestik sehingga berjaya mencipta sejarah bola sepak negara apabila merangkul kejuaraan liga lima musim berturut-turut, Longhi menyifatkan mentaliti kemenangan yang ada dalam kalangan pemain amat penting untuk melakar kejayaan itu.
Malah katanya, kelibat pemain import yang hadir pada jendela perpindahan kedua iaitu Fernando Elizari dan Fernando Marquez menunjukkan peningkatan mendadak sepanjang bersama skuad Harimau Selatan.
Menurutnya, Marquez yang diturunkan dalam penampilan pertama walaupun baru sehari tiba di Johor Bahru hanya berlatih dalam satu sesi latihan namun masih berjaya mempamerkan aksi terbaik.
“Fernando (Elizari) merupakan nadi di posisi tengah apabila kerap memainkan peranan untuk menghidupkan barisan itu malah dia tidak kekok untuk beraksi bersama pemain tempatan dan berganding dengan baik.
“Kelibat pemain tempatan juga memainkan peranan penting dan anda sendiri melihat Safawi (Rasid) begitu konsisten dan muncul penjaring utama dalam kalangan pemain tempatan dan saya kagum dengan komitmen pemain itu,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan