Langkau ke kandungan utama

JDT sahkan kejuaraan Liga Super

PEMAIN Perak, Gilmar (depan) diasak oleh pemain JDT, Gonzalo Gabriel dalam perlawanan Liga Super  di
PEMAIN Perak, Gilmar (depan) diasak oleh pemain JDT, Gonzalo Gabriel dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ
IPOH 10 Julai - Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini lebih awal setelah mengalahkan Perak 2-1 dalam perlawanan di Stadium Perak hari ini.
Kemenangan itu memastikan JDT meraih kejuaraan lima kali berturut-turut apabila mengumpul 47 mata di tangga teratas liga.
Dengan baki empat perlawanan, kelebihan 16 mata yang dimiliki JDT tidak mampu diatasi oleh Perak yang menduduki tangga kedua liga.
Dalam aksi di sini hari ini, permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan di babak pertama.
Percubaan terbaik JDT dihasilkan menerusi Fernando Gaston Elizari pada minit ke-32 namun bola sepakannya tersasar ke penjuru kiri gawang.
Perak pula hampir memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-45 namun sepakan kaki kanan Gilmar yang hanya berdepan penjaga gol, Mohd. Farizal Marlias terkena tiang.
Perak akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-72 menerusi sepakan kaki kiri Mohd. Nor Hakim Hassan.
Namun JDT menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-75 apabila ketua pasukan, Harris Harun menanduk tepat bola sepakan bebas Muhammad Safawi Rasid.
Muhammad Safawi Rasid memastikan tiga mata untuk JDT apabila menanduk masuk bola hantaran lintang Gonzalo Gabriel Cabrera pada minit ke-83. - UTUSAN ONLINE

Ulasan