Pemain Kedah, Liridon Krasniqi berebut bola dengan pertahanan JDT, La'Vere Corbin-Ong dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman di sini , hari ini. - UTUSAN/Ismail Kamadin
ALOR SETAR 13 Julai - Kelebihan beraksi di laman sendiri ternyata tidak memberi peluang kepada Kedah untuk mengatasi juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tewas 1-2 dalam aksi liga di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Pasukan tuan rumah hampir membuka jaringan pada minit keenam namun ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar gagal melakukan sentuhan hasil hantaran kemas Andik Vermansyah di hadapan pintu gol lawan.
JDT bagaimanapun berjaya mendahului perlawanan dengan memperoleh jaringan pertama menerusi Gonzalo Gabriel Cabrera selepas menerima hantaran Fernando Andres Marquez pada minit ke-21.
Gol kedua JDT diperoleh menerusi hasil tandukan Fernando Marquez yang tidak dikawal selepas mendapat hantaran Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pada minit ke-38.
Lang Merah yang mendapat peluang untuk merapatkan jurang menerusi sepakan penalti selepas Mohd. Rizal Ghazali dijatuhkan pertahanan JDT, La Vere Lawrence Corbin Ong namun gagal disempurnakan Paulo Rangel.
Pada minit ke-69, perlawanan terpaksa dihentikan selama 15 minit apabila lampu limpah stadium terpadam secara tiba-tiba.
Skuad Lang Merah bimbingan Mohd. Nidzam Adzha Yusoff sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78 dan Sandro Da Silva berjaya menyempurnakannya bagaimanapun usaha mereka untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian.
Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana menyaksikan pendahulu liga, Felda United seri tanpa jaringan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka manakala Felcra FC mengekori rapat apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas PDRM di Stadium Shah Alam.
Pasukan tercorot, Terengganu II terus dirundum malang apabila tewas 1-2 kepada Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan