PEMAIN PKNP FC , Muhammad Fadhil Idris (kiri) bersaing dengan pertahanan JDT, , La'Vere Corbin-Ong dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi. - UTUSAN/KAMAL BASIR WAHAB
KUALA LUMPUR 24 Julai - Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi berharap dapat menutup tirai Liga Super 2018 dengan mencatat satu lagi kemenangan apabila menentang Kuala Lumpur dalam aksi terakhir liga di Stadium Larkin, Sabtu ini.
Longhi berkata, beliau amat gembira dengan prestasi skuad Southern Tigers musim ini apabila memenangi 18 perlawanan, dua seri dan kalah sekali.
JDT melakar kemenangan terbaru malam tadi apabila mengalahkan wakil Perak, PKNP FC 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.
“Pencapaian kami dalam Liga Super musim ini sungguh luar biasa,” katanya yang dipetik daripada laman Facebook rasmi JDT; Johor Southern Tigers.
Menyentuh tentang perlawanan PKNP FC, Longhi berkata, beliau membuat keputusan memberi peluang kepada beberapa pemain untuk beraksi seperti Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan Abd Radzak, Kiko Insa, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Safiq Rahim dan Izham Tarmizi memandangkan mereka telah direhatkan sebelum itu.
“Kami beri peluang kepada mereka untuk bermain kerana beberapa pemain mengalami keletihan, terutama selepas baru sahaja menentang Kelantan, mereka terlibat pula dengan acara meraikan kejayaan sebagai juara dan selepas itu perlu membuat perjalanan ke Perak,” kata Longhi, yang amat gembira dengan kemenangan yang dicapai dalam pertemuan mereka dengan pasukan tuan rumah.
JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super bagi tahun kelima berturut-turut sejak 2014 apabila mengalahkan Perak 2-1 di Stadium Perak pada 10 Julai. - BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan