Esok malam istimewa buat JDT: Longhi



JURULATIH JDT, Raul Longhi. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BHARU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi menyifatkan pertembungan dengan Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam esok sebagai istimewa.
Justeru bagi merealisasikannya, Longhi mensasarkan kemenangan ke atas skuad The Red Warriors (TRW) untuk berpesta bersama penyokong Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super buat kali kelima.
"Sudah tentu JDT mahu menang ketika beraksi di laman sendiri. Malah penyokong pasti mahu melihat kami menjulang piala dengan menewaskan Kelantan tetapi kami harus waspada.
"Kita tahu Kelantan sedang bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran. Mereka pasti akan cuba sedaya upaya mencari kemenangan dan kami tidak boleh bersikap sambil lewa.
"Taktikal yang ampuh sudah dirancang dan saya akan membariskan kesebelasan terbaik kerana perlu bersedia untuk berdepan aksi pantas Kelantan yang rata-rata pemain muda," katanya.
Longhi juga tidak menafikan kelibat barisan pemain tempatan terutama pemain muda memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan JDT.
Sekali gus mereka tidak terlalu bergantung kepada kelibat pemain import tatkala kualiti permainan Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor, Adam Nor Azli, Syamer Kutty Abba semakin menyerlah.
Ditanya mengenai ketiadaan Corbin Ong yang digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah ketika menentang Kedah 13 Julai lalu, Longhi mengesahkan sudah ada pengganti.
"Tanpa Corbin, saya akan meletakkan sama ada Azrif Nasrulhaq (Badrul Hisham) di posisi bek kiri dan Kuna (S Kunanlan) beraksi di posisi bek kanan. Apapun kedua-dua pemain harus berlatih untuk menyesuaikan diri dengan posisi berkenaan.
"Mentaliti yang diterapkan adalah untuk menang. Selepas aksi menentang Kelantan, kami ada lagi perlawanan berdepan PKNP FC di tempat lawan dan mengakhiri saingan liga menentang Kuala Lumpur," katanya.

Ulasan