Langkau ke kandungan utama

5,000 rai kemenangan JDT

JDT julang Piala Liga Super 2018

PEMAIN, jurulatih serta pegawai JDT bersorak gembira sambil menjulang Piala Liga Super 2018 yang dimenangi buat kali kelima berturut-turut pada Majlis Penyampaian Trofi unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas perlawanan menentang Kelantan di Stadium Larkin, malam tadi. - UTUSAN ONLINE/RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 21 Julai - Lebih 5,000 penyokong setia pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) membanjiri Dataran Bandaraya, di sini malam tadi bagi meraikan kejayaan wira-wira Harimau Selatan merangkul kejuaraan Liga Super buat lima musim berturut-turut.
Ketibaaan pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama-sama para pemain, pegawai dan jurulatih skuad Harimau Selatan dengan menaiki bas khas tidak berbumbung kira-kira pukul 12.20 tengah malam disambut dengan sorakan kegembiraan penyokong JDT.
Yang turut hadir ke majlis sambutan kejuaraan Liga Super itu ialah Presiden Kelab JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Sambutan kejuaraan di Dataran Bandaraya diadakan selepas majlis penyerahan piala Liga Super musim 2018 yang disempurnakan oleh Tunku Tun Aminah kepada kapten JDT, Hariss Harun sejurus tamat perlawanan antara Harimau Selatan menentang The Red Warriors.
Penonton turut berkesempatan menyaksikan perlawanan JDT menentang Kelantan yang ditayangkan di skrin gergasi dan acara kemuncak sambutan diserikan dengan pertunjukan bunga api.
Pada 10 Julai lalu, skuad kendalian Raul Longhi itu mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Ipoh pada 10 Julai lalu ketika saingan liga berbaki empat perlawanan.
Kejayaan memenangi kejuaraan Liga Super musim ini lebih bermakna kerana membolehkan Harimau Selatan melayakkan diri ke Kejohanan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan buat pertama kali. - UTUSAN ONLINE

Ulasan