Tok Gajah 'merajuk' di Larkin


JARINGAN tunggal kapten, Hariss Harun pada awal babak pertama sudah memadai buat Johor Darul Ta'zim (JDT) menang tipis 1-0 ke atas Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan kekal di tangga teratas dengan  mengumpul 35 mata selepas mengharungi perlawanan ke-14 dan kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertembung pada aksi di Stadium Darul Makmur, Selasa ini.
Peluang terbaik JDT mencipta gol hadir pada minit kelima selepas bola umpanan Fernando Elizari mengelirukan benteng pertahanan pelawat namun Fernando Marquez yang tidak dikawal menyepak bola melewati palang gol.
Pelawat juga memperoleh peluang pada minit ke-15 apabila mula menyusun serangan ke kubu anak didik Longhi namun bola sepakan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria sekadar melepasi palang gol.
Usaha berterusan tuan tumah mencipta gol terhasil pada minit ke-18 selepas percubaan awal Marquez berjaya dihalang pemain pertahanan lawan namun dia sempat merampas bola dan bertindak menolak bola kepada Hariss yang merembat leret menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.
Hariss hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-21 selepas merembat bola kencang dari luar kotak penalti namun Helmi Eliza sempat melayangkan badan untuk menepis bola keluar.
Pada babak kedua, nasib tidak menyebelahi tuan rumah selepas gagal menemui sentuhan penyudah pada minit ke-59 apabila Gonzalo Cabrera yang berjaya memperdaya Helmi Eliza tidak mampu menjaringkan gol yang sudah terbuka luas sebaliknya hanya sipi dari pintu gol.
Pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-67 selepas Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah oleh pengadil Nazri Nasaruddin apabila mengutip dua kad kuning kerana mengasari Gary Steven Robbat.
Bagaimanapun skuad Harimau Selatan buntu untuk menambah jaringan untuk mengatasi skuad kendalian Dollah Salleh yang kekurangan seorang pemain dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Ulasan