KUANTAN: Pemain Pahang tidak perlu menangisi kekalahan tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super, Jumaat lalu. Sebaliknya, skuad Tok Gajah digesa kembali fokus apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Stadium Darul Makmur, Selasa ini.
Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Sufian Awang berkata, kekalahan itu tidak akan mematahkan semangat skuad kendalian Dollah Salleh untuk menebus kekecewaan di Larkin.
"Semua pemain tidak perlu lagi mengingati kekalahan kepada JDT kerana mereka mempunyai misi untuk memastikan tiga mata menjadi milik Tok Gajah, Selasa ini.
"Tewas kepada JDT tidak bermakna kita tidak mampu bangkit kerana Pahang pernah menewaskan lawan 3-0 pada saingan suku akhir Piala FA lalu.
"Saya percaya kekalahan tipis 0-1 memberi lebih ruang untuk skuad ini memperkemaskan lagi jentera pasukan terutama menambah bisa di bahagian serangan," katanya.
Justeru, beliau mahu skuad Tok Gajah melakukan kebangkitan dan menafikan Harimau Selatan daripada membawa pulang mata di Kuantan.
Katanya, tiada yang mustahil untuk melakar kemenangan ke atas JDT kerana dengan mempamer semangat juang dan komitmen tinggi, kejayaan akan berpihak kepada Pahang.
"Apa yang perlu dilakukan pemain adalah bermain tanpa tekanan dan bijak memanfaatkan segala peluang yang dimiliki untuk kembali merekodkan kemenangan.
"Jika pemain bijak mengawal permainan dan tidak melakukan kesilapan mudah, tiga mata pasti menjadi milik Pahang," katanya.
Selepas mengharungi 14 perlawanan, Pahang kini menduduki tangga ketiga dengan 24 mata manakala JDT pula selesa di persada liga dengan mengumpul 35 mata.
Ulasan
Catat Ulasan