Perak tekad tawan JDT

JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic. - Foto Effendy Rashid
IPOH: Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengakui peluang pasukannya untuk membenam Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertemuan dua pasukan teratas Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam ini sukar.
Namun, Durakovic memberi jaminan barisannya akan cuba melakukannya dan berharap mereka mengambil semangat Pahang yang membuktikan Harimau Selatan bukan kebal di laman sendiri apabila menang 3-0 dalam saingan suku akhir kedua Piala FA, 20 April lalu.
"Umum tahu JDT adalah pasukan terbaik, miliki pemain tempatan dan import terbaik serta struktur pengurusan terbaik.
"Malah mereka baru saja mendapat khidmat pemain import berwibawa (Fernando Marquez) bagi memperkasakan lagi pasukan.
"Bagaimanapun, kami tetap akan mencuba sedaya upaya memberi cabaran kepada mereka," kata Durakovic.
Jurulatih itu berkata, pertembungan antara kedua-dua pasukan sentiasa sengit dan musim lalu Perak tumpas 1-2 akibat jaringan kontroversi tuan rumah dengan Durakovic mendakwa gol itu dijaringkan dari posisi ofsaid tetapi tetap dibenarkan pengadil.
Untuk pertemuan kali ini, Perak dapat menurunkan kesebelasan terbaik dan beliau berharap anak buahnya akan berjuang dengan semangat kental serta mempamer permainan mantap.
"Pemain bermain mantap ketika bertemu PKNP FC apabila bangkit selepas ketinggalan 3-1. Saya berharap ia mampu dijelmakan lagi malam ini," katanya.

Ulasan