Pencapaian Longhi tutup mulut pengkritik



RAUL Longhi

JOHOR BAHRU: Sebelum ini, beliau hadir sebagai pengendali sementara namun, Raul Longhi tidak mensia-siakan peluang apabila berjaya membawa Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir dengan kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut.
Selain itu, skuad berkenaan juga bakal mencipta sejarah bola sepak Malaysia dengan layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali pertama.
Sentuhan ajaib Longhi itu pantas menutup mulut segelintir penyokong terutama netizen yang sebelum ini hebat mengkritik, mahu beliau digantikan ketika mula mengambil alih tugas Ulisses Morais yang melepaskan jawatan hujung Februari lalu.
Tanpa mempedulikan kritikan itu, jurulatih kelahiran Argentina berkenaan tetap melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan membentuk kombinasi mantap untuk kekal di tangga teratas liga.
Apa yang pasti, sikap terbuka Longhi disenangi pemain JDT yang menerima cara latihan dan corak permainan diterapkan kerana setiap pemain lebih mengutamakan semangat kekeluargaan bagi memburu sasaran menjuarai liga.
Apapun, ketika bayangan kejuaraan seakan pasti menjadi milik JDT, Longhi tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu sebaliknya lebih gemar membicarakan baki aksi yang bakal diharungi pasukannya JDT.
"Saya tidak pernah memikirkan kejuaraan liga dan tidak mahu berbicara mengenai hal itu kerana lebih utamakan aksi seterusnya menentang Perak kerana ia perlawanan penting buat kami.
"Saya jangkakan ia perlawanan sukar. Pemain perlu fokus dalam latihan dan pada perlawanan kerana skuad kendalian Mehmet Durakovic sudah pasti mahu membalas dendam selepas tewas 0-2 kepada JDT, 2 Jun lalu," katanya.
JDT kini mengungguli liga selepas menamatkan 17 perlawanan dan berjaya mengumpul 44 mata manakala pencabar terdekat, Perak ketinggalan 13 mata dan berada di tempat kedua bersama Pahang dan Kedah untuk memburu slot ke saingan Piala AFC musim depan.

Ulasan