Nazrin harap dapat jumpa 'kawan lama'


MOHD Nazrin Nawi berharap namanya ada dalam kesebelasan utama Perak yang akan menentang kelab lamanya, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.
Selepas kerap memanaskan bangku simpanan, Nazrin begitu teringin untuk beraksi menentang JDT selain mahu membuktikan kemampuannya.
Musim lalu, Nazrin tidak diturunkan ketika Perak menentang seteru sama disebabkan perjanjian yang termeterai antara Perak dengan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).


Perjanjian itu dikenakan kepada semua pemain JDT yang mahu meninggalkan pasukan untuk menyertai pasukan lain.
Bagaimanapun, kini mereka sudah ‘bebas’ dan boleh beraksi menentang JDT pada bila-bila masa.
“Jika diturunkan, saya akan memberi persembahan terbaik untuk membantu Perak. Saya perlu profesional dan tunjukkan kesetiaan kepada majikan baru saya,” katanya.
Menurut pemain sayap lincah itu, Perak perlu mengutip mata mulai malam esok bagi merapatkan jurang dengan JDT yang juga pendahulu liga.
JDT ketika ini mengumpul 29 mata diikuti Perak (23 mata), Pahang, Terengganu dan Kedah yang masing-masing mengumpul 21 mata.
“Kami mahu kutip mata agar dapat menjarakkan diri dengan tiga pencabar terdekat kami itu,” katanya.
Pemain berasal dari Kelantan itu yakin peluang Perak tetap ada dengan syarat mereka memberi persembahan terbaik.
“Tiada yang mustahil jika kita yakin dan menunjukkan kesungguhan tinggi. JDT boleh ditumpaskan. Apa yang perlu kami lakukan ialah fokus terhadap misi dan elak melakukan kesilapan. Perak juga ketika ini bersemangat tinggi,” katanya.

Ulasan