MELAKA: Melaka United (MU) beraksi tanpa khidmat penyerang liciknya, Lee Chang-Hoon ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam ini.
Penolong jurulatih MU, Rizduan Abu Shah, berkata ketiadaan pemain kelahiran Korea Selatan itu amat dirasai dalam misi memperkasa barisan depan untuk merobek gawang pelawat.
Berita kurang menarik itu pastinya sedikit mencemaskan kem skuad tuan rumah dalam misi melebarkan rekod kemenangan, sekali gus memperbaiki kedudukan di carta liga.
Chang Hoon yang turut menghadiahkan jaringan bagi membantu skuad Hang Tuah meraih kemenangan ke atas PKNP (2-1) minggu lalu jelas amat penting buat skuad berkenaan berikutan sejak kehadirannya bersama pasukan sejak Mei lalu.
"Apapun kami akur dengan situasi terbabit. Justeru kami akan meletakkan Ifedayo Olusegun (Nigeria) bergandingan bersama import Belarus, Yahor Zubovich untuk mengemudi barisan serangan.
"Kami juga yakin 'bisa' kedua-dua mereka mampu untuk bertindak cemerlang menerusi sokongan barisan tengah dalam memastikan jaringan boleh dihasilkan," katanya.
MU yang kini berada di tangga ketujuh liga selepas tiga kemenangan dan masing-masing dua keputusan seri dan kalah pada pusingan kedua dilihat berada dalam situasi terbaik untuk mengejutkan lawan.
Namun, ketiadaan beberapa tonggak termasuk R Gopinathan, S Chanturu dan Syahrul Azwari Ibrahim sedikit menjejaskan rentak skuad itu untuk lebih digeruni.
Berikutan itu, beliau mahu pemain tidak mengambil kira kekurangan yang ada, sebaliknya menggunakan kelebihan sokongan peminat setia untuk bertindak cemerlang dalam perlawanan berkenaan.
Selepas 16 perlawanan JDT kini menghuni tangga teratas liga dengan kutipan 41 mata, sementara MU (tangga ketujuh) dengan 20 mata.
Ulasan
Catat Ulasan