DOLLAH SALLEH
KUANTAN: Tugas getir menanti skuad Pahang apabila bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Ia diakui pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh yang mahu anak buahnya mengekang asakan Harimau Selatan itu sekali gus tidak tercicir mata.
"Saya perlu akui bahawa Pahang bukan saja berdepan masalah kecederaan, malah prestasi kurang memuaskan biarpun merekodkan dua kemenangan ke atas Kuala Lumpur dan PKNP FC.
"Dengan prestasi semasa JDT termasuk kehadiran pemain import baharu, ia dilihat memberi cabaran besar buat pasukan untuk bekerja keras.
"Tetapi, pemain tidak boleh mengalah, sebaliknya bermain seperti biasa dan memiliki semangat untuk memastikan keputusan positif dicapai," katanya.
Ditanya peluang mengulangi kemenangan 3-0 ke atas JDT seperti dilakukan pada saingan suku akhir Piala FA lalu, Dollah berkata ia bukan sesuatu yang mustahil.
Tetapi katanya, ketiadaan Patrick Cruz yang masih lagi belum sembuh daripada kecederaan mungkin memberi kesan terutama di bahagian serangan.
"Oleh itu, dengan barisan pemain sedia ada, saya mengharapkan semua pemain yang diberi tugas dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.
"Tiada yang mustahil untuk meraih kejayaan dan perkara utama adalah mengekalkan persefahaman sepanjang tempoh perlawanan," katanya.
Selepas 13 perlawanan, skuad Tok Gajah yang kini berada di tangga kedua liga perlu bekerja keras jika mahu merapatkan jurang mata dengan Harimau Selatan.
Kemenangan ke atas JDT akan mengurangkan jurang mata kerana Pahang kini mengutip 24 mata manakala JDT pula selesa di puncak dengan 32 mata.
Ulasan
Catat Ulasan