Longhi simpan hasrat julang trofi

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi tampak mahu `menyimpan' hasrat untuk memburu kejuaraan kelima Liga Super, sebaliknya menganggap baki enam aksi liga ibarat pentas final dan tidak boleh keciciran mata.
Apapun, Longhi berpuas hati dengan persembahan skuad Harimau Selatan yang menepati sasaran mencipta kemenangan 2-0 ke atas Terengganu FC (TFC) kendalian Irfan Bakti Abu Salim pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Katanya, biarpun ada ketikanya benteng pertahanan JDT hampir terperangkap dengan serangan balas TFC, namun mereka pantas menutup ruang sehingga menyukarkan pasukan lawan membuat percubaan berbahaya.
"Untuk kejuaraan liga, maaf saya tidak memikirkan lagi kerana tumpuan adalah baki perlawanan liga. Biarlah kami habiskan satu persatu perlawanan.
“Kami berada di landasan tepat, hanya tunggu untuk muncul juara. Apabila beraksi dengan corak serangan, ada ketika kami akan membuat kesilapan di pertahanan, namun ia tidak menjadi masalah kerana pemain mampu mengawal permainan dengan baik.
"Apa yang penting kami berjaya menjaringkan dua gol untuk menang,” katanya.
Mengulas tindakan Aidil Zafuan Abd Radzak mengasarai K Partiban pada minit ke-71 dan dilayangkan kad merah, Longhi menanggap tindakan pemain itu wajar dan ia kesalahan profesional tatkala bagi mengelak gawang JDT di bolosi.
Katanya, walaupun beraksi 10 pemain, JDT mampu mengimbangi kekuatan TFC yang bertungkus lumus memberi tekanan di benteng pertahanan pada 20 minit terakhir, namun ketenangan dan sikap pemain Harimau Selatan menyukarkan pasukan lawan mencipta gol.
"Malah, kelibat Syamer (Kutty Abba) selepas diturunkan dua perlawanan tidak mengecewakan, walaupun masih muda tetapi dia membalas kepercayaan dengan mempamerkan aksi konsisten," kata Longhi.

Ulasan