JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi menghela nafas lega selepas skuad kendaliannya menepati ramalan mengutip tiga mata apabila menang tipis 1-0 mengatasi Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Bagi pengendali kelahiran Argentina itu, penguasaan jelas milik JDT apabila kerap memberi tekanan kepada skuad kendalian Dollah Salleh namun hanya mampu mencipta satu sahaja dalam perlawanan itu.
Katanya, JDT memiliki sekurang-kurang tujuh peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi hanya satu gol yang terhasil dan ia amat mengecewakan namun apa yang mustahak tiga mata memihak skuad Harimau Selatan.
"Masalah yang timbul dalam perlawanan itu, kami ada tujuh peluang keemasan tetapi gagal terjemahkan peluang itu dengan jaringan apabila hanya satu gol yang terhasil.
"Pahang adalah pasukan kuat. Kami terpaksa bertahan dan juga menyerang dan ia situasi yang cukup sukar kerana pasukan lawan sentiasa beri tekanan dan kami perlu konsisten tanpa membuat kesilapan.
"Kami mencipta banyak peluang untuk jaringkan gol tetapi itulah bola sepak ada ketika apa yang dirancang menjadi dan ada ketika serba tidak menjadi. Tetapi dalam perlawanan itu kami berjaya menguasai perlawanan dan mengundang cemas buat Pahang," katanya.
Katanya, pemain import baharu itu hanya menjalani empat sesi latihan sebelum berdepan skuad Tok Gajah dan tempoh itu tidak mencukupi bagi perlawanan yang kompetitif malah kelibatnya diperlukan pada aksi Selasa ini.
Ditanya mengenai persembahan kurang memberangsangkan Fernando Marquez yang tampak masih tercari-cari rentak permainan, Longhi menganggap pemain itu akan bangkit dengan corak permainan lebih berkualiti.
"Ia lumrah bagi penyerang kerana ada ketika cemerlangan dan ada ketika kurang berkesan. Apa yang mustahak Marquez cipta banyak peluang tetapi gagal jaringkan gol. Saya tidak panik dengan apa yang berlaku.
"Kami harus beri Marquez keyakinan kerana dia baru tujuh hari menjalani latihan dan kami optimis dia akan beri persembahan terbaik pada aksi seterusnya.
"Natxo (Insa) pertama kali diturunkan selepas 33 hari tidak bersama pasukan JDT selepas menjalani pemulihan kecederaan yang dialami dan dia juga sedang giat menjalani latihan dan kami tidak boleh terlalu memaksanya kerana perlu beri ruang untuk kembali pulih sepenuhnya," kata Longhi.
Ulasan
Catat Ulasan