Kami lebih banyak cipta peluang - Durakovic



PEMAIN Perak, Nazirul Naim (kanan) menghalang pergerakan pemain JDT, S Kunanlan pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Mohd Azren Jamaludin
JOHOR BAHRU: Pengendali Perak, Mehmet Durakovic menyifatkan hilang fokus hingga melakukan dua kesilapan kecil punca pasukannya tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Bagaimanapun, pengendali dari Australia itu tetap bangga dengan komitmen setiap pemain kerana memaksa skuad kendalian Raul Longhi berhempas pulas sebelum memenangi perlawanan itu.
Katanya, semua anak didiknya mengikut taktikal yang diterapkan sejak minit pertama sehingga tamat perlawanan dan mampu mengekang gerakan berbahaya pemain JDT.
"Malangnya, pemain hilang fokus dan membuat kesilapan hingga JDT dihadiahkan sepakan penalti pada awal babak pertama dan ketika kami ghairah mencari gol penyamaan, benteng gagal mengekang penyerang JDT masuk ke dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol.
"Mereka hanya ada dua peluang dan berjaya menyempurnakan kedua-duanya, kami mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang namun gagal menjaringkan gol. Itu bezanya antara kami dan JDT. Apapun, saya tetap berpuas hati.
"Saya akui, kami banyak mencipta peluang namun kegagalan menjaringkan gol menyebabkan kami tewas. Tiada gunanya beraksi konsisten jika gagal menjaringkan gol, itu hakikat bola sepak," katanya.
Pada masa sama, Durakovic memuji barisan tengah diketuai Wander Luiz dan Leandro Dos Santos yang bijak mematikan gerakan barisan tengah JDT hingga Nazmi Faiz Mansor dan Hariss Harun bagaikan hilang arah untuk menjana gerakan.
Ditanya mengenai kejuaraan liga, Durakovic tidak mahu meletakkan tekanan kepada pemainnya dan berpendapat JDT, Pahang, Terengganu serta  Kedah masih mampu muncul juara musim ini.
"Saya langsung tidak memikirkan untuk memburu kejuaraan kerana musim masih panjang dan macam-macam boleh berlaku. Saingan masih terbuka dengan jarak mata tidak terlalu besar. Apa yang penting pemain mesti beri tumpuan sepanjang 90 minit perlawanan.
"Kami mahu tebus kekalahan ini apabila berdepan Negeri Sembilan dalam perlawanan berikutnya. Apa yang penting mengumpul tiga mata untuk  terus kekal di kelompok teratas liga," kata Durakovic.

Ulasan