HARISS HARUN meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan semasa aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
KUALA LUMPUR 8 Jun - Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan penguasaan dalam kancah Liga Super selepas mudah menundukkan Pahang yang beraksi dengan hanya 10 pemain dengan keputusan 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus mengukuhkan selaku pendahulu Liga Super selepas mengumpul 35 mata selepas 14 perlawanan berkelebihan 11 mata mengatasi skuad Tok Gajah yang memiliki 24 mata di kedudukan kedua liga.
Pasukan pelawat terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain mereka Safuwan Baharuddin dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-68.
Bagaimanapun, kelebihan itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya JDT untuk menambah jumlah jaringan dan keputusan 1-0 sudah memadai untuk mereka meraih tiga mata penuh.
Kedah berjaya memintas kedudukan ketiga daripada Perak selepas menundukkan Kelantan yang turut beraksi dengan hanya 10 pemain dengan keputusan 1-0 dalam aksi di Stadium Darul Aman.
Kemenangan itu membolehkan skuad Lang Merah mengumpul 24 mata namun berjaya mengatasi Perak menerusi perbezaan jaringan.
Paulo Rangel menjadi wira Kedah dengan meledak gol tunggal perlawanan pada penghujung babak pertama dan keputusan kekal hingga tamat perlawanan.
Saingan Liga Perdana menyaksikan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) meraih tiga mata berharga selepas menundukkan PDRM 1-0 di Stadium Pasir Gudang.
Felda United juga meraih tiga mata berharga selepas menundukkan Terengganu II dengan keputusan 3-2 dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak manakala UKM menang 2-0 ke atas Felcra di Stadium Kuala Lumpur.-UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan