Langkau ke kandungan utama

JDT terus selesa di puncak Liga Super

Fernando Andres Marquez (dua dari kanan) meraikan jaringannya
Fernando Andres Marquez (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, hari ini.
KUALA LUMPUR 2 Jun - Johor Datul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman selaku peneraju Liga Super selepas menundukkan Perak 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu mengumpul 32 mata selepas 13 perlawanan mengatasi Perak di kedudukan kedua dengan 23 mata.
JDT meledak gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit kelima yang disempurnakan Fernando marquez sebelum Jorge Silva melengkapkan kemenangan pada minit ke-83.
Aksi di Stadium Perak menyaksikan PKNP tewas 1-2 kepada Pahang.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Ritus Krjauklis dan Pahang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi jaringan Mohamadou Sumareh.
Skuad Tok Gajah bagaimanapun berjaya mencuri tiga mata berharga selepas Faisal Halim meledak jaringan pada masa kecederaan.
Harapan Terengganu untuk memintas Perak di kedudukan kedua liga tidak kesampaian selepas tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur dalam aksi di Stadium Cheras.
Skuad City Boys meraih gol pertama menerusi Zhfari Yahya pada penghujung babak pertama sebelum Guilherme de Paula meledak gol kedua seminit babak kedua bermula dan Paulo Josue melengkapkan kemenangan pada minit ke-81.
Sementara itu aksi Liga Perdana menyaksikan UKM menundukkan Sabah 3-1 dalam aksi di Stadium Likas.
Wan Mohamad Faiz terlebih dahulu meletakkan pasukan pelawat di hadapan seawal minit pertama permainan namun Pito Ramos menyamakan kedudukan 14 minit kemudian.
Pada minit ke-33 UKM kembali di hadapan menerusi jaringan Michael Chukwubunna sebelum Sein Nam melengkapkan kemenangan 3-1 pelawat pada masa kecederaan.
Aksi di stadium Shah Alam menyaksikan Felcra terikat seri 1-1 dengan Felda United.
Felda United hampir berada di hadapan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-28 namun Thiago Agusto gagal menyempurnakannya untuk memberikan kelebihan kepada pasukan pelawat.
Christie Jayaseelan bagaimanapun berjaya meletakkan Felda United dihadapan menerusi jaringan minit ke-76 namun kegembiraan itu tidak lama apabila Anselmo da Silva menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.-UTUSAN ONLINE

Ulasan