TINDAKAN ‘luar biasa’ dilakukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika jendela perpindahan kedua berakhir Ahad ini apabila bertindak menamakan pemain import baharu, Fernando Marquez dalam usaha merealisasikan impian memburu kejuaraan kelima Liga Super pada musim ini untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Bagaimanapun, status Marquez yang difahamkan dibeli dari kelab Atletico Belgrano berpengkalan di Argentina dengan nilai RM2.3 juta (USD600,000) mengikut laporan kelab berkenaan belum pasti sama ada diturunkan pada aksi menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
JDT juga mengumumkan seorang lagi pemain dari Argentina untuk menguatkan jentera serangan bergandingan bersama Marquez, sekali gus senario itu menggambarkan kedudukan Harry Novillo dan Jorge Santos yang baru membuat tiga penampilan bakal diketepikan.
Pengendali JDT, Raul Longhi menyifatkan kehadiran Marquez dalam skuad Harimau Selatan bakal menajamkan lagi jentera serangan ketika tiga aksi lalu posisi berkenaan tampak lesu.
“Fernando adalah pemain kelab Atletico Belgrano dan dia dipinjamkan untuk beraksi bersama kelab Defhhensa Justicia yang beraksi di Superliga Argentina, selain menjadi antara lima penjaring terbanyak dalam liga itu,” kata Longhi.
“Kehadiran Fernando bakal menguatkan lagi jentera serangan dan saya optimis dia akan beri impak positif dalam skuad JDT. Seorang lagi pemain baharu dari Argentina juga dibawa masuk dan akan diumumkan dalam masa terdekat.”
Skuad Harimau Selatan turut membuat persiapan rapi untuk berdepan skuad kendalian Mehmet Durakovic yang kini menghuni tangga kedua liga dan pastinya pertembungan kedua-dua pasukan bakal sengit.
Longhi sendiri menegaskan JDT akan berdepan beberapa perlawanan sukar dan perlu berwaspada untuk memastikan tidak lagi tercicir mata selepas sekadar seri 0-0 dengan PKNS FC pada aksi Ahad lalu.
“Taktikal yang dipratikkan oleh JDT sememangnya tertumpu kepada pengawalan bola dan mengekalkan posisi. Bukan corak permainan tendang dan lari.
Apa yang kami fokus beraksi dengan tenang dan sentiasa bergerak berpasukan dan menentang Perak nanti kami harus beri yang terbaik.” kata Longhi.
Ulasan
Catat Ulasan