Dollah puji pemain muda



Pemain Johor Darul Ta'zim Ahmad Hazwan Bakri (tengah) mengasak penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias (kanan) pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur, semalam. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Biarpun tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) malam tadi, Dollah Salleh tetap memuji komitmen dipamerkan skuad Pahang terutama barisan pemain muda.  
Pengendali Tok Gajah itu berkata, kekalahan itu membuktikan bahawa pemain muda masih mampu memberi persembahan meyakinkan apabila bertemu pasukan berpengalaman.  
"Ketika ketiadaan enam pemain utama yang mengalami kecederaan dan digantung perlawanan, mereka (pemain muda) melakukan segala-galanya terutama pada babak kedua.  
"Walaupun bertubuh kecil kita masih boleh bersaing untuk memberi tekanan kepada JDT dan hampir meraih mata di laman sendiri.  
"Saya berasa bangga terutama pada babak kedua pemain muda memberi yang terbaik untuk memastikan pasukan mencatat keputusan membanggakan," katanya.  
Pada perlawanan itu, Pahang beraksi tanpa pemain utama antaranya Patrick Cruz, Austin Amutu, Nor Azam Azih dan Safuwan Baharudin.  
Justeru, Dollah menyenaraikan pemain muda untuk memperkemaskan jentera pasukan iaitu Mohd Faisal Halim, R Dinesh dan Shahrulnizam  Mohd Nadzir.  
Mengulas gol minit terakhir JDT, Dollah mengaku kecewa kerana skuad itu hampir mengutip sekurang-kurangnya satu mata tetapi kelekaan mengundang padah.  
Namunkatanya, dalam sukan bola sepak, biarpun beraksi dengan lebih baik pada babak kedua dan menggandakan asakan ke kubu lawan, sedikit kelalaian memusnahkan segalanya.  
"Ia amat merugikan apabila lawan mendapatkan gol pada minit terakhir. Tapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain," katanya.

Ulasan