‘Usah cepat berasa puas hati’

Nasihat Nazliazmi buat Sean selepas jaringkan gol kemenangan Selangor


SEAN perlu meningkatkan prestasi bagi memikat hati jurulatih untuk terus diberi kepercayaan diturunkan dalam kesebelasan utama Selangor pada aksi menentang JDT di Larkin malam ini.


MUHAMMAD NAZLIAZMI

PASUKAN Selangor mengharapkan pemain tengah­nya, Sean Eugene Selvaray dapat meningkatkan mutu permainan meskipun mempunyai motivasi yang tinggi selepas menjaringkan gol kedua ketika menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu diturunkan bersama kesebelasan utama buat kali pertama untuk musim ini selepas skuad Gergasi Merah kehilangan dua tonggaknya, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn yang terpaksa bermain untuk skuad Indonesia, sekali gus mencipta kejutan ketika menjaringkan gol kemenangan buat Selangor di hadapan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, Sean terpaksa dikeluarkan pada lewat babak kedua sebagai langkah berjaga-jaga selepas mengalami kekeja­ngan otot supaya kecederaan tersebut tidak bertambah serius.

Jurulatihnya, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir mahu prestasi yang dipamerkan Sean digilap menjelang perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini.

“Momentum yang ada padanya sangat diperlukan untuk berdepan JDT walaupun terdapat beberapa kesilapan yang telah dilakukannya ketika berdepan Negeri Sembilan.

“Walaupun kami terpaksa mengubah taktikal permainan selepas kehilangan Evan dan Ilham, namun pemain sedia ada tetap menunjukkan penampilan yang positif setelah diberikan kepercayaan.

“Saya harapkan kemenangan dalam perlawanan ketujuh ini dapat memberikan suntikan moral kepada pemain untuk meneruskan rentak tersebut supaya dapat memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga,” katanya.

Sementara itu, Nazliazmi turut berpesan kepada pemainnya supaya tidak mengulangi kesilapan ketika aksi kedua suku akhir Piala FA sehingga perlawanan terpaksa diheret hingga ke penentuan sepakan penalti meskipun berkelebihan tiga gol pada pertemuan pertama.

“Kita perlu bersedia ketika bertemu JDT kerana berkemungkinan mereka akan menurunkan pemain import baharu bagi memperkukuhkan jentera sera­ngan skuad Harimau Selatan.

“Gandingan Abdul Halim Zainal dan Amri Yahyah juga memberikan impak positif kepada Selangor kerana mereka saling menunjukkan keserasian apabila beraksi di atas padang.

“Namun, semua pemain perlu berusaha dengan baik pada sesi latihan kerana setiap perlawanan kemungkinan mempunyai rombakan pemain supaya setiap taktikal yang akan direncanakan menjadi,” ujarnya.

Ulasan